REKREASI

Menjenguk kota raya Surabaya

Menjenguk kota raya Surabaya


PANORAMA indah pergunungan Penanggungan dilihat dari jalur gunung Welirang dan Arjuna.


Menurut legenda, kota raya ini mendapat nama daripada kisah pergelutan ikan jerung (suroe) dan buaya (boya) yang merebut sebuah kawasan. Daripada kisah itu, lahirlah nama Surabaya yang dahulunya dikenali dengan nama Soerabaja.




KETIKA seorang rakan mengajak bercuti ke Surabaya, Indonesia, saya tidak tahu apa istimewanya destinasi itu. Apa yang terbayang di fikiran saya ketika dalam penerbangan AirAsia ke bumi Jawa Timur yang menjadi lokasi terletaknya kota raya itu ialah gunung berapi Kelud yang ketika itu diletakkan dalam keadaan berwaspada tahap tinggi ekoran aktiviti volcano yang terlalu aktif dan menunggu masa untuk memuntahkan lava.

Hampir dua jam setengah berlalu, pesawat tambang murah yang dinaiki semakin menghampiri kota raya yang sentiasa sesak ini. Saya melontarkan pandangan di luar tingkap kecil pesawat dan nun di bawah sana, kelihatan bumbung-bumbung rumah berwarna coklat mewarnai landskap Surabaya.

Selain kelompok rumah yang bertebaran melata di bumi asing ini, saya juga dapat melihat sebatang jalan raya yang sibuk membelah kota raya ini. Di kiri dan kanannya ialah hamparan tanah luas yang kosong ekoran musim menuai padi baru berakhir. Sebaik pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, saya dan lima rakan lain disambut oleh Silvester Eko P. atau lebih mesra dipanggil Sly dan adiknya, Adrian.

Saya mengenali Adrian pada tahun 2006 ketika kami mendaki gunung Rinjani di Pulau Lombok.

Sly bekerja di Adam Air manakala Adrian masih belajar di Universiti Katolik di Surabaya.

Lapangan terbang yang baru kira-kira setahun dibuka ini sibuk dengan lautan manusia yang datang dengan pelbagai tujuan ke wilayah ini. Kata Sly, lapangan terbang lama terletak bersebelahan dan kedua-duanya terletak di wilayah Sidoarjo, bukannya di kota raya Surabaya.

“Baru setahun dibuka. Yang lama...di sebelah sana,’’ kata Sly ketika pacuan empat roda yang dipandunya lalu di hadapan lapangan terbang lama yang terletak bersebelahan.

Ketika kereta (dipanggil mobil di Indonesia) meredah kesibukan kota raya Surabaya menuju ke Nugraha Family Homestay yang terletak di Kedung Pengkol V1/5, saya sempat terlelap. Jarak memandu ke homestay ini dari lapangan terbang ialah kira-kira 30 kilometer.

Namun lelap saya tidak lama kerana terasa rugi jika saya tidak melihat sendiri kesibukan isi perut kota Surabaya.

“Itu mercu tanda Surabaya,’’ kata Sly sambil menuding jari ke arah patung ikan jerung yang sedang bergelut dengan seekor buaya.


MERCU tanda Surabaya, buaya dan ikan jerung.


Menurut legenda, kota raya ini mendapat nama daripada kisah pergelutan ikan jerung (suroe) dan buaya (boya) yang merebut sebuah kawasan. Daripada kisah itu, lahirlah nama Surabaya yang dahulunya dikenali dengan nama Soerabaja.

Kini, ia adalah bandar kedua terbesar di Indonesia, selepas Jakarta dan diangkat sebagai ibu negeri Jawa Timur. Kota raya ini memiliki kira-kira lapan juta penduduk dan majoritinya beragama Islam.

MENIKMATI MASAKAN ASLI

Kala waktu menginjak ke petang, kami tiba di homestay dan selepas mendaftar masuk, kami berjalan kaki ke rumah Ibu Inda.

Richard yang merupakan kenalan Adrian membawa saya ke rumah Ibu Inda untuk merasa masakan asli Surabaya. Salam kami disambut sebaik pintu dibuka. Ibu Inda yang mempunyai dua anak gadis mempersilakan kami masuk. Melihat meja makan yang dipenuhi aneka juadah, pastinya, Ibu Inda sibuk memasak untuk kami sejak pagi.

“Silakan makan...ini saja yang ada. Rumah pun kecil saja...,’’ kata Ibu Inda merendah diri.

Saya menjawab bahawa apa yang disediakan sudah lebih daripada mencukupi. Masakan asli Surabaya menjadi habuan kami. Pastinya, saya tidak dapat melupakan keenakan ikan mayong salai yang dikukus dan dicecah dengan sambal tomato; ulam dan rojak buah yang manis.

“Ibu...tambah sambal lagi...,’’ kata saya tanpa berasa malu kerana sambal yang dimakan terasa begitu enak sekali.

Sepetang di Kedung Tarukan Baru yang menempatkan rumah Ibu Inda memberi pengalaman baru kepada saya. Kami difahamkan banyak rumah di kawasan ini dihuni oleh pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Airlangga yang terletak beberapa ratus meter dari sini.

SUASANA MALAM DI SURABAYA

Penat masih menguasai diri kerana perjalanan yang jauh. Namun, saya masih sempat membeli-belah di pasar raya Giant untuk persiapan mendaki gunung keesokan harinya. Sebenarnya, matlamat utama saya ke sini ialah untuk mendaki gunung Arjuna dan Welirang yang terletak di Tretes. Namun, faktor cuaca menyebabkan saya hanya sempat mendaki gunung berapi Welirang sahaja. Selepas menamatkan ekspedisi tiga hari dua malam, saya pulang semula ke Surabaya untuk berlibur.

Saya tiba semula di Nugraha Family Homestay pada petang 10 November. Rugi rasanya jika tidak meneroka kesibukan malam di kota raya ini. Namun, sebelum itu, saya bersama rakan-rakan Indonesia seperti Sly, Adrian, Lim, Gilang, Joe, Hendra, Guntur dan Bobby singgah di sebuah gerai tepi jalan untuk menikmati nasi putih berlaukkan ikan keli goreng (dipanggil ikan lele di Indonesia), ayam dan itik goreng, sate dan sambal tomato yang pedas tetapi membuka selera.

Anehnya, kami disuruh duduk bersila di tepi laluan pejalan kaki untuk menikmati hidangan ini!. Pada mulanya, saya berasa agak janggal duduk bersila dalam keadaan satu baris yang panjang mengadap jalan raya yang sibuk. Namun, akhirnya saya terbiasa pula dengan budaya makan di sini. Selepas itu, kami menaiki semula van yang disewa menuju ke Taman Bungkul.

Tarikan taman ini ialah terdapat sebuah mini stadium yang tidak berbumbung. Di tengah-tengah ‘stadium’ ini ialah kawasan lapang yang dikelilingi oleh peniaga kecil-kecilan. Ada peniaga yang menjual minuman, aneka jenis cenderahati dan mercun. Di beberapa sudut kelihatan sekumpulan anak muda yang asyik dengan aktiviti masing-masing. Kami memilih satu sudut untuk melepak dan di sebelah kami ialah sekumpulan remaja yang taksub dengan break dance. Pelbagai gaya ditunjukkan sambil rakan-rakan mereka yang lain bertepuk tangan pada setiap kali aksi tarian selesai dilakukan. Kami pula, apa aktivitinya? Bosan melihat gelagat orang lain, akhirnya kami memilih untuk bermain mercun! Kami bersorak gembira setiap kali bunga api dan mercun mengeluarkan bunyi dan cahaya. Kami juga bermain permainan kipas terbang. Untuk memainkannya, kami perlu melastik kipas itu ke udara, kemudian mengejar kipas tadi agar ia tidak jatuh ke tanah. Memang seronok dan wah...seperti budak kecil gelagat kami yang seronok bermain di taman ini.

Leka bermain mercun dan kipas terbang membuatkan kami terlupa masa yang berlalu. Menyedari semakin dinihari, kami beredar pulang.

KEUNIKAN DUA MASJID


Masjid Ampel.


Selepas mendaftar keluar dari homestay ini, kami menyewa van menuju ke Masjid Ampel. Masjid ini adalah masjid tertua di Surabaya. Menariknya tentang masjid ini ialah kawasan sekitarnya didominasi oleh penduduk Indonesia berketurunan Arab. Mereka adalah saki baki pedagang dan penyiar agama Islam dari tanah Arab yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan kini menjadi warga Indonesia.

Laluan masuk ke masjid ini dipenuhi dengan deretan kedai yang dimiliki oleh golongan ini yang menjual pelbagai barangan keperluan umat Islam. Buah kurma, telekung, tudung, tasbih dan lain-lain, semuanya ada di sini.

Di dalam masjid ini terdapat beberapa kubur lama termasuk pengasas masjid yang berasal dari Kemboja. Masjid ini dikunjungi oleh orang ramai pada setiap hari yang datang untuk pelbagai tujuan seperti membayar nazar dan membaca ayat suci Al-Quran.

Di dalam masjid ini juga terdapat beberapa tempayan yang diisi dengan air yang kononnya boleh menyembuhkan penyakit terutama sihir atau ilmu hitam. Tidak hairanlah, ramai yang membawa bekas kosong untuk mengisi air ini bagi dibawa pulang. Ada yang meminumnya di sini.


MASJID etnik Tionghua, Masjid Cheng Ho.


Kami sempat singgah di kedai menjual cenderahati, Mirota sebelum melawat sebuah lagi masjid yang cukup unik, Masjid Cheng Hoo. Seunik namanya, masjid ini didirikan oleh penduduk Islam keturunan Tionghua. Keunikan masjid ini terletak pada seni binanya yang seumpama sebuah tokong Cina. Baik reka bentuk bumbung hinggalah hiasan dalaman, semuanya berunsurkan seni bina Cina.

Terdapat juga replika sebuah kapal layar yang menjadi simbol kepada penerokaan lautan luas oleh Laksamana Cheng Hoo pada zaman dahulu.

MELAWAT KAMPUNG LUMPUR

Lokasi seterusnya ialah Lumpur Lapindo yang menjadi tumpuan ramai pada cuti hujung minggu. Kedatangan kami ke lokasi itu ialah untuk melihat lumpur panas yang telah menenggelamkan dua buah desa sejak 2006.

Van yang kami naiki dikenakan bayaran parkir sebanyak RM2.50 tetapi Sly hanya membayar RM1.00 sahaja. Kami juga membayar RM1.00 setiap orang untuk naik ke atas tebing yang dibina bagi mengelakkan lumpur membanjiri keseluruhan pekan berdekatan. Menurut Sly, kutipan wang masuk itu dilakukan secara haram.

Saya hanya dapat melihat kepulan asap dari kejauhan. Dari situlah lumpur panas membuak keluar membanjiri perkampungan itu.

Kami tidak berada lama di sini memandangkan saya perlu berada di lapangan terbang pada pukul 4.30 petang untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Namun, kami sempat bergambar, sebelum menaiki semula van yang disewa menuju ke lapangan terbang. Agak berat rasanya hati ini untuk meninggalkan teman-teman Indonesia yang baik hati. Jika ada kesempatan, pasti saya mahu lagi ke kota raya ini kerana masih banyak tempat-tempat menarik termasuk yang bersejarah tidak sempat dilawati.


DESA Renokenongo dan Desa Kedungbendo di Porong ditenggelami lumpur panas gunung berapi sejak 26 Mei 2006 hingga hari ini.


Rencana Utama!»

Persiapan warga emas hadapi banjir

PAK LEH yang tinggal di Kampung Pasar Lama, Pasir Tumboh, Kampung Pasar Lama, Kota Bharu, Kelantan menunjukkan jarak sungai dengan rumahnya yang terlalu hampir.

Varia!»

Mengimbau kenangan lampau Malaysia

SAMSUDIN (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada majlis pelancaran Paint&Ink: Just Add Water di Muzium dan Galeri Seni BNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31