HIBURAN

Siti bertudung bukan dipaksa

Siti bertudung bukan dipaksa


SITI NURHALIZA


SEMENJAK Datin Seri Siti Nurhaliza kembali daripada menunaikan fardu Haji banyak spekulasi mengenai imejnya timbul. Persoalan pertama wujud apabila dia muncul pada majlis hari jadi Chef Wan malam Ahad lalu dengan mengenakan tudung berwarna hitam rekaan Bernard Chandran.

Pada majlis hari jadi ke-29 Siti yang diaturkan khas oleh suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa pada malam Khamis lalu, Siti sekali lagi diajukan soalan sama mengenai penampilannya tetapi penyanyi nombor satu negara ini menyahut soalan dengan penuh sabar.

Memberitahu dirinya lebih tenang sejak pulang dari Mekah, Siti juga tidak menafikan dirinya akan bertudung tetapi masih memerlukan masa untuk menghadam perubahan ini.

“Mengenai isu bertudung, Siti sebenarnya memerlukan masa untuk melakukan perubahan ini. Dulu memang Siti menyimpan angan-angan untuk memakai tudung dan duduk di rumah selepas menjadi isteri.

“Tetapi perubahan ini sebenarnya tidak mudah. Lagipun Siti tidak mahu lakukannya secara drastik. Jadi sekarang Siti mula dengan memakai tudung (longgar) dan mungkin tahun depan Siti akan cuba memakai tudung,” kata Siti yang mengenakan tudung rekaan Bernard Chandran pada malam itu.

‘Penghijrahan’ imej Siti memang merupakan keputusannya sendiri dan juga mendapat sokongan daripada suami tercinta. Namun, sebagai figura yang diperhatikan setiap masa, perubahan ini mengundang pelbagai komen.

“Orang boleh cakap apa sahaja. Ini adalah lumrah sebagai seorang artis kerana orang ramai adalah ‘hakim’. Apa yang orang kata Siti tidak risau kerana Siti lakukan yang terbaik untuk diri sendiri.

“Biarlah keputusan ini lahir daripada hati dan dilakukan secara perlahan-lahan. Siti tidak mahu terburu-buru dan mendapat tekanan orang ramai yang kemudian boleh ‘menyebabkan’ Siti membuka tudung,” senyum Siti yang kini baru mula mengumpul koleksi tudung.

Tindakannya bertudung turut meraih sokongan penuh daripada suaminya yang lebih popular dengan panggilan Datuk K. Namun, sebagai suami Siti, dia juga perlu berhadapan dengan komen orang sekeliling.

“Memang banyak respons yang diterima yang datangnya majoriti daripada kawan-kawan saya. Ada yang setuju dan ada yang kata Siti terlalu muda untuk bertudung. Dia (Siti) diminati ramai, jadi memang banyak pendapat yang diterima.

“Saya tidak suruh dia memakai tudung sekarang tetapi saya setuju apabila dia menyatakan hendak lakukan perubahan secara perlahan. Apa yang penting adalah tingkah laku dan iman yang kuat. Tidak dinafikan dia lebih manis bertudung tetapi apabila di rumah, saya juga suka keayuan dia tanpa tudung,” jelas Datuk K.

Mendapat ilham semasa menyaksikan Festival Fesyen Islam Antarabangsa pada tahun lalu, Siti yang pada mulanya kekok bertudung kini lebih selesa dan akan mendapatkan khidmat pereka, Radzuan Radzwill untuk berkongsi idea.

“Kita akan bincang dengan Radzuan untuk mendapatkan stail bersesuaian. Kami akan mengambil tudung biasa dan mengubahnya. Apa yang penting adalah keselesaan dan Siti tidak mengganggu Siti semasa menyanyi,” tambah Datuk K.


SUAMINYA sentiasa beri sokongan.


Namun, bertudung juga menimbulkan persepsi bahawa Siti kini kurang mendapat tawaran menyanyi di majlis-majlis.

“Siti percaya kepada rezeki. Bukannya apabila Siti bertudung orang tidak mahu panggil untuk menyanyi. Padahal ramai yang memberikan tawaran selepas Siti balik dari Mekah. Cuma Siti menolaknya kerana ingin berehat.”

Tidak mahu memberitahu apa yang dihadiahkan oleh Datuk K, Siti yang mendapat sebuah kereta tahun lalu memberitahu kebendaan bukan perkara utama yang diingininya.

“Hadiah itu bukan isu utama. Apa yang penting adalah kasih sayang dan dia menjaga Siti dengan baik. Siti tidak perlu risau di bawah jagaannya. Mengenai isu menambahkan ahli keluarga, Siti juga berdoa segera dikurniakan cahaya mata,” senyum Siti lagi.

Bakal bertanding dalam Anugerah Juara Lagu 22 pada 27 Januari ini dalam kategori pop rock, Siti kini sedang berlatih dan mengatur corak persembahannya. Namun, dia tidak kisah dengan faktor kemenangan.

“Siapa-siapa pun layak untuk menang. Siti tidak kisah kerana keputusan bukan di atas tangan Siti. Lagipun Siti pernah kalah dan apa yang utama adalah Siti melakukan persembahan baik.

“Memang lagu itu (Destinasi Cinta) menarik perhatian dan mengandungi irama pop yang kuat. Ini adalah antara lagu pop yang Siti suka,” tambahnya lagi.

Album Inggeris pertama

Mungkin perubahan imej Siti turut menimbulkan pertanyaan sama ada dia akan berhenti menyanyi. Namun, Siti memberitahu dia akan terus menyanyi kerana cintanya terhadap nyanyian terlalu mendalam.

“Dalam masa setahun dua ini, saya berharap Siti boleh menerbitkan sebuah album Inggeris. Kami kini sedang mencari komposer yang sesuai bertaraf antarabangsa dengan sentuhan muzik Inggeris, Sepanyol dan Arab.

“Jika menerima sambutan baik, Siti mungkin boleh menembusi pasaran antarabangsa. Lagipun Siti sudah memiliki vokal dan menyanyi lagu Inggeris bukan satu masalah. Malah saya juga tidak kisah untuk melabur ke atas album ini,” jelas Datuk K yang sudah menghubungi beberapa komposer antarabangsa.

Berasa seronok dengan idea Datuk K, Siti sendiri sudah bersedia menghadapi cabaran untuk menyanyi dalam Bahasa Inggeris.

“Memang selalu dalam majlis-majlis, Siti ada menyampaikan lagu Inggeris. Tetapi Siti masih perlu belajar dan dengan bantuan beberapa kenalan, Siti rasa ia pasti boleh direalisasikan,” tambahnya yang juga ingin menceburi bidang perniagaan.


BERSAMA keluarga menyambut hari jadi ke-29.


Pada majlis eksklusif yang bertempat di riang legar kolam renang Hotel Le Meridien itu, hampir 300 tetamu hadir yang terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat serta rakan seperjuangan.

Antara tetamu yang hadir adalah ibu bapa Siti, Siti Salmah Bachik dan Tarudin Ismail, ibu Datuk K, Zainab Hanapi, kakak ipar Siti, Rozie, kakak Datuk K, Zaiton Mohd. Jiwa, dua orang anak Datuk K, Mohd. Adib, 18, dan Mohd. Aazief, 10.

Manakala rakan artis yang hadir adalah Sharifah Amani, Que Haidar, Sharifah Aleya, Syafinaz Selamat (yang turut berkongsi tarikh hari jadi bersama Siti), Sean Ghazi, Sharifaj Shahira, Fasha Sanda, Datin Norjuma Habib dan suami, penyanyi Indonesia, Rossa, Zed Zaidi, Betty Benafe, Faradhiya dan majlis diacarakan oleh Aznil Hj. Nawawi.

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16