NEGARA
Wanita cantik bawa adik

PETALING JAYA – Sharliena Mohd. Nashar memberitahu, adiknya dilarikan oleh seorang wanita cantik memakai kasut tumit tinggi ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas bermain di taman permainan di PJS2 Taman Medan di sini kelmarin.
Sharliena, 8, berkata, ketika itu, dia sedang menaiki basikal manakala adiknya mengekorinya dengan berjalan kaki dari belakang.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi tapak kasut orang berjalan. Saya toleh ke belakang dan nampak wanita itu dan semasa itu, adik masih ada lagi.
“Wanita cantik itu kemudiannya memberi adik gula-gula dan terus menarik adik ke dalam sebuah kereta hitam yang dipandunya sendiri,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini semalam.
Semalam KOSMO! melaporkan Sharliena sebagai berkata, adiknya tiba-tiba hilang dari pandangan dan dia langsung tidak perasan bagaimana Sharlinie boleh hilang sebelum terus balik ke rumah untuk memberitahu ibunya.
Dua beradik itu yang sepatutnya pergi ke kelas mengaji al-Quran selepas selesai sekolah agama pukul 11 pagi bagaimanapun pergi bermain di padang permainan.
Cerita Sharliena lagi, adiknya itu terus menjerit semasa dipaksa masuk ke dalam kereta dan dia hanya mampu melihat adiknya dibawa pergi.
Ekoran maklumat terbaru itu, Sharliena dibawa sepasukan polis ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan tanpa ditemani oleh kedua ibu bapanya.
Sehingga malam tadi, KOSMO! difahamkan Sharliena masih berada di Bukit Aman bagi membantu polis menjalankan siasatan berdasarkan maklumat terbaru tersebut.
Menurut sumber, pihak polis terpaksa mengulangi pertanyaan yang sama kepadanya untuk memastikan maklumat yang diceritakan sahih.
“Walaupun dia banyak memberi maklumat, kita tidak boleh memakai kesemuanya kerana ia sentiasa berubah-ubah. Kita terpaksa bertanya benda yang sama berulang kali untuk mendapatkan jawapan yang sama,” katanya ketika dihubungi semalam.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.




Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


