NEGARA

Guru turut upah tugasan

Guru turut upah tugasan


DIANA menunjukkan antara tugasan yang pernah diupah untuk disiapkan.


KUALA LUMPUR – Kakitangan kerajaan termasuk guru yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) secara separuh masa dikenal pasti antara pelajar yang paling ramai mengupah orang lain untuk menyiapkan tugasan mereka.

Untuk tujuan itu, mereka dikatakan memperuntukkan di antara RM150 hingga RM200 seorang pada setiap semester semata-mata untuk mengupah pelajar lain bagi tujuan itu.

Bagi mereka, bayaran sebanyak itu tidak memberi sebarang masalah kerana ia dianggap sebagai salah satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan mereka.

Apa tidaknya, jika sebelum ini mereka hanya mempunyai pendapatan berdasarkan gaji diploma tetapi jika memperoleh ijazah kelak, gaji mereka akan meningkat walaupun tanpa perlu bersusah payah.

Kegiatan tersebut sebenarnya melibatkan hampir sebahagian besar pelajar separuh masa yang mempunyai kerjaya.

Berdasarkan tinjauan KOSMO! di kalangan pelajar-pelajar yang mengambil upah membuat tugasan tersebut mendapati, golongan guru merupakan antara mereka yang ramai berbuat demikian.

Seorang guru sekolah rendah yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 34, mengakui kegiatan mengupah pelajar lain menyiapkan tugasan adalah sesuatu yang lumrah bagi pelajar IPTA yang mengambil kursus separuh masa.

“Perkara ini telah menjadi kelaziman kepada pelajar separuh masa memandangkan kami tidak tinggal di kampus, sukar untuk mendapatkan sumber rujukan.

“Jika kami siapkan tugasan di rumah pula sukar kerana terpaksa melayan kerenah anak-anak selain beban tugas yang sedia ada,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, langkah mudah ialah mengupah pelajar yang telah terbukti kualiti kerjanya menyiapkan tugasan dan kegiatan itu dilakukan di atas persetujuan bersama.

Sementara itu seorang lagi guru, Fahmie, 33, adalah tidak benar untuk mengatakan guru yang mengupah tugasan tidak mendalami ilmu secara seratus peratus dan hanya mengharapkan orang lain untuk memperoleh segulung ijazah.

“Kami tetap belajar dan membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan cuma dalam beberapa aspek tertentu tugas itu diserahkan kepada pihak lain, namun ia masih dalam pemerhatian kami.

“Kalau semuanya kami beri kepada orang lain, macam mana kami nak lulus ketika peperiksaan sebenar nanti,” ujar beliau.

Menurut beliau, kebanyakan mereka tidak cukup masa untuk menelaah buku sebagai sumber rujukan kerana sibuk menguruskan kerjaya dan keluarga.

Process time in ms: 16