NEGARA
Selepas ibu bapa terbeban kadar yuran sekolah mengelirukan, makanan di kantin pun mahal

KUALA LUMPUR – Belumpun reda isu yuran sekolah yang mengelirukan, ibu bapa kini terpaksa berdepan pula dengan hakikat harga makanan di kantin yang semakin meningkat berbanding tahun lepas.
Keadaan ini sekali gus menghimpit mereka kerana terpaksa menambah wang saku untuk anak-anak agar tidak kelaparan selain mendapat makanan yang berzat di sekolah.
“Apa sangat yang boleh dibeli dengan belanja RM1 pada waktu ini. Kalau nak alas perut, saya perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM2 sehari untuk anak di sekolah.
“Rupa-rupanya tempias kenaikan harga barangan seperti minyak, tepung turut dirasai oleh anak-anak,’’ demikian keluh seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Yati yang mempunyai anak bersekolah di Gombak.
Tinjauan KOSMO! di beberapa buah sekolah kebangsaan sekitar ibu negara mendapati, harga makanan di kebanyakan kantin sekolah khususnya makanan bergoreng telah dinaikkan.

Jika tahun lalu makanan seperti naget ayam dan hotdog dijual di antara 30 sen hingga 40 sen namun pada tahun ini, kedua-dua makanan yang menjadi kegemaran kanak-kanak itu telah naik kepada 50 sen hingga 60 sen sebiji.
Selain itu, makanan lain seperti nasi lemak dan bihun goreng turut naik antara 20 sen hingga 30 sen sepiring.
“Dulu nasi lemak tanpa lauk 50 sen, sekarang dah jadi 70 sen sepiring,” kata seorang pelajar Asma Hairul, 12.
KOSMO! turut menerima rungutan daripada pelajar mengenai tindakan pengusaha kantin yang mengenakan harga yang berubah-ubah setiap hari terutama pada kuih-muih.
Misalnya di sebuah sekolah di Keramat, karipap dan donat dijual sama ada 30 sen atau 40 sebiji.
Seorang pelajar di Sungai Buloh yang hanya mahu dikenali sebagai Ikhwan, 11, mendakwa saiz kuih dan kuantiti makanan yang dijual di kantin sekolahnya semakin kecil dan sedikit tetapi dijual pada harga yang sama.
“Saya bawa RM2 sehari pun tak cukup. Tak kenyang pun makan, tapi makanan di kantin mahal,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi ibu yang ditemui, Naziah Mohd. Ali, 36, pula mendakwa harga makanan yang dijual di kantin sekolah anaknya di Keramat juga berubah-ubah mengikut hari.
“Semalam harga lain, hari ini harga lain. Tanda harga pun tak ada. Bayangkan semalam beli kuih tiga RM1, hari ini tiga RM1.20,” katanya.
Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri
ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.




Tempayan penyeri ruang
SLE penyakit seribu wajah


