NEGARA

Polis terus siasat kes Nurin – Musa

Polis terus siasat kes Nurin – Musa

KUALA LUMPUR – “Kita tidak pernah tutup kes.”
Demikian jaminan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika ditanya mengenai perkembangan kes culik dan bunuh kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin, 8.

“Polis masih cuba melengkapkan siasatan, walaupun terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk mengkaji semula petunjuk-petunjuk baru dalam menyelesaikan kes tersebut,” kata beliau.

Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju di sini.

Selepas 27 hari Nurin Jazlin hilang, mayatnya ditemui di dalam beg pakaian yang ditinggalkan di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.

Bagaimanapun sehingga kini, polis belum menahan suspek yang benar-benar terlibat dengan penculikan dan pembunuhan kejam kanak-kanak itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Musa menasihati media supaya tidak terburu-buru membuat spekulasi hanya berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi daripada sumber.

“Berhubung satu-satu kes, polis akan mengeluarkan kenyataan sekiranya siasatan sudah selesai,” katanya sambil menjelaskan spekulasi boleh menimbulkan pelbagai tanggapan salah orang ramai terhadap satu-satu kes tersebut.




Musa berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Siasatan Jenayah Datuk Christopher Wan Soo Kee kepada Timbalannya, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani (gambar) yang dilantik menggantikan Christopher yang bersara semalam.

Christopher mula menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah sejak November 2006.

Musa turut menyatakan rasa bangga dan penghargaan kepada Christopher yang menunjukkan khidmat cemerlang sepanjang menerajui Jabatan Siasatan Jenayah.

Varia!»

Kek cawan pada Aidilfitri

ANTARA jenis biskut yang dihasilkan ialah cip coklat, coklat oat, tat nenas, semprit, biskut mentega, dan kapucino.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47