HIBURAN

Sinema Melayu 'tidak hargai' Janet

Sinema Melayu 'tidak hargai' Janet

Jika hendak dibilang, tidak ada ramai artis Cina yang berjaya bertapak dalam industri perfileman Melayu. Maka bagi Janet Khoo yang agak popular di kalangan pembikin dan industri perfileman Melayu, dia patut berbangga dengan statusnya.

Memang pada asalnya Janet menceburi industri ini untuk memburu populariti. Namun, semakin dia mendekati impiannya, Janet mula sedar lakonan kini bukan sekadar untuk dikenali sahaja tetapi adalah minat dan ‘nyawanya’.


JANET akui kecewa


Cuma apa yang dirisaukan oleh aktres ini adalah progres bidang perfileman yang dilihat lebih mengorak ke arah negatif. Malah pada masa ini Janet sedang merajuk dan berkecil hati kerana berasa telah diabaikan oleh pembikin filem dan industri itu sendiri.

“Saya tidak faham dengan pergolakan industri hiburan tempatan. Saya telah bekerja keras dan yakin dengan setiap projek serta orang yang saya bekerjasama. Saya menaruh harapan bahawa mereka akan membawa saya ke satu tahap lebih tinggi.

“Namun, selepas Mat Dom Teksi memenangi Anugerah Skrin 2006, saya mula merajuk dan kecil hati. Bagi saya Mat Dom Teksi adalah satu drama komedi berkualiti tetapi mengapa tidak diteruskan dan diperjuangkan? Kenapa produksi ini perlu dihentikan?,” luah Janet ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama Lepaskan Kembali Aku Ke Laut di RTM, baru-baru ini.

Pengiktirafan tidak dihargai

Malah menerusi sitkom tersebut, Janet telah memenangi anugerah aktres terbaik dalam komedi pada majlis Asian TV Awards di Singapura pada tahun 2006.


SAAT merangkul trofi pada 2006 Asian TV Awards.


“Pada malam itu, saya merupakan satu-satunya artis Malaysia yang memenangi anugerah. Tetapi pengiktirafan itu tidak dihargai oleh industri tempatan. Saya berasa kecewa dan terkejut mengapa sesebuah karya yang memenangi pelbagai anugerah tidak dapat diteruskan,” tambahnya lagi.

Membuat keputusan untuk kekal ‘senyap’ dalam industri selagi tidak dihargai, filem terakhir yang dibintangi oleh Janet adalah Paloh (2003).

“Bukan saya tidak mahu berlakon dalam filem tetapi hakikatnya muka saya tiada nilai komersial. Mungkin ada yang menyatakan muka saya cantik tetapi realitinya muka saya tidak boleh mencapai kutipan box-office. Saya menerima realiti ini dan bekerja keras untuk mencapai kedudukan dalam industri,” keluh Janet lagi.

Mungkin disebabkan dirinya pernah memenangi anugerah di negara luar, ramai pihak yang berpendapat Janet kini lebih ‘mahal’ dan hanya akan memilih projek tertentu untuk dipikul.

“Saya tidak meletak harga mahal. ‘Harga’ saya masih berada di bawah RM10,000. Apa yang diutamakan adalah watak dan pengarah yang terlibat. Namun, kebanyakan projek yang dilaksanakan masa kini lebih sambil lewa tanpa memikirkan kualiti.

“Saya pula bukan seorang pelakon yang akan menerima sebarangan kerja. Jadi ini juga menjadi faktor yang menyebabkan saya jarang dilihat di kaca televisyen kebelakangan ini. Tetapi saya bukan seorang yang demanding,” katanya lagi.

Beralih ke layar Cina

Sungguhpun tidak begitu ‘hangat’ dalam dunia perfileman Melayu, Janet baru-baru ini sedang menjalankan penggambaran drama Cina, Age Of Glory terbitan Double Vision.




“Drama ini merangkumi 40 episod. Saya sebenarnya tidak tahu membaca bahasa Cina dan perlu menghafal dan menterjemah skripnya. Walaupun selalunya saya tidak suka menghafal skrip tetapi saya mengambil cabaran untuk mencuba.

“Orang tidak menghargai saya dalam industri jadi saya ingin mencuba pula pasaran Cina. Bayangkan dari Paloh (watak serius) ke Mat Dom Teksi, saya mencabar diri sendiri tetapi saya tidak dihargai di Malaysia. Saya berlakon bukan untuk mengagumkan orang tetapi bagi kepuasan diri,” akhiri bicara Janet.

Varia!»

Selera Malaysia di Manchester

MENU Malaysia di Ning telah disesuaikan mengikut selera rakyat Eropah.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15