JOM SINGGAH

Yang terbaik di Janda Baik

Yang terbaik di Janda Baik


GAYA hidup mewah yang dijelmakan dalam belantara ditemukan di Tanarimba.


Pelbagai lokasi penginapan privasi dan percutian bertema lasak boleh dinikmati di kampung tersohor di Pahang ini hanya dengan pemanduan sebentar dari Kuala Lumpur.

TIDAK sempat untuk merasai mabuk perjalanan, seseorang yang menyusur masuk ke kawasan Kampung Janda Baik, Pahang dengan kenderaan sendiri tentu bersetuju tentang beberapa perkara. Tidak lagi perlu merungut tentang kesesakan lalu lintas mahupun udara yang tidak segar.

Apatah lagi saat disambut kedamaian bunyi riak sungai dan jeram selain desiran angin yang mengusik rimbun-rimbun pokok. Semua itu menggamit hati bukan sahaja di kalangan penggemar alam semula jadi malah kepada mereka yang ingin bercuti lebih panjang untuk bebas daripada hingar-bingar kota.

Tidak hairanlah kini bertambah ramai pengusaha pusat penginapan yang muncul dengan pelbagai tarikan percutian. Papan tanda pelbagai saiz yang bertulis ‘calet’ dan ‘resort’ dilihat membimbing pemanduan ke jalan masuk dari Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Genting Sempah, Lebuh Raya Karak.

Ringkasnya, kesemua pengusaha penginapan serta pusat latihan yang bersandarkan alam semula jadi ini berkongsi khazanah yang sama iaitu kehijauan rimba di kaki Banjaran Titiwangsa.

Sama ada lawatan hujung minggu mahupun perancangan untuk bermalam lebih lama, kunjungan ke Janda Baik masih menjadi pilihan ramai, biarpun digemparkan dengan rasa gegaran gempa kecil baru-baru ini.

Antara yang mencuri tumpuan kini adalah Tanarimba, iaitu sebuah kawasan penempatan eksklusif seluas 2,955 hektar dengan nilai rumah mencecah sehingga jutaan ringgit.

Di sebalik deretan pokok pain menyambut tetamu di laluan masuknya, ia menjanjikan gaya hidup kediaman banglo yang hanya mengambil 20 peratus daripada lantai hutan yang tidak terusik dengan pembangunannya.

Sementara pemaju Tanarimba menyasarkan konsep privasi dan eksklusif dalam elemen rimba, terdapat banyak lagi pengusaha chalet di Janda Baik yang mengajak kumpulan pengunjung bajet. Kedatangan secara berkumpulan lazimnya tidak lari daripada tujuan program bina diri dan kursus motivasi.

Penginapan seperti di D’Ark Training and Resort atau Zaini Guesthouse menjadi pilihan bagi mereka yang gemar aktiviti lasak seperti larian berhalangan, treking hutan, meranduk sungai dan banyak lagi.


SELAIN treking hutan, aktiviti outdoor yang popular dianjurkan oleh beberapa pusat penginapan di Janda Baik termasuk meranduk sungai, flying fox dan abseiling.


Tarikan outdoor yang tidak kurang hebatnya juga menanti di Latto Charok Chalet. Penginapan yang paling hampir dengan lokasi Air Terjun Tampit itu menyambut tetamunya dengan pilihan aktiviti yang mencabar fizikal dan minda.

“Selain daripada treking hutan, tetamu kami juga boleh menyertai aktiviti lain seperti memancing di sungai serta aktiviti kembara malam. Semua itu atas kendalian penganjur lawatan mahupun dengan perbincangan dengan pihak kami.

“Bagi menampung kedatangan yang lebih ramai, tapak perkhemahan turut disediakan,” ujar pengusaha Zaini Guesthouse yang tempatnya mampu menampung sehingga 80 orang dalam satu masa.

Keindahan alam sekitar yang wujud di sekitar tanah milik keluarga telah dibangunkan untuk dikongsi bersama pengunjung. Itulah yang diusahakan oleh pemilik dan pengusaha penginapan homestay Sailor’s Rest, Tuan Hashim Tuan Mohamad, 68.

Tidak hairanlah jika beliau sanggup mengeluarkan belanja untuk menambah ruang kediaman banglo beliau untuk tujuan sewaan tetamu.

Sebagai tarikan tambahan, beliau turut membina sebuah replika bot persiaran yang sebenarnya bertindak sebagai bilik penginapan dengan sentuhan mewah – sama seperti sebuah kapal mewah. Jika bertanya tentang kapal atau bot di tengah hutan Janda Baik, ramai yang akan menunjukkan tempat ini.

“Walaupun Sailor’s Rest tidak mampu menampung ramai penginap pada satu-satu masa, layanan kami begitu istimewa. Kami melayan penginap umpama keluarga sendiri dan mereka akan diajak untuk makan dan bersiar-siar di sekitar kawasan kebun buah di homestay ini,” ujar beliau yang selesa menguruskan tempahan melalui laman web.

Bukan sesuatu yang menghairankan apabila melihat sepasang atau sekeluarga pelancong luar negara yang menyusuri laluan di Janda Baik hanya dengan mengayuh basikal.

Bagi warganegara asing ini, persekitaran perkampungan Melayu dengan rutin harian penduduk yang rapat dengan alam sangat unik.

Jika orang luar tahu menghargainya, apatah lagi kita yang memilikiya. Walau di mana pun pilihan penginapan anda di Janda Baik, ingatlah akan satu perkara – memelihara alam sekitar adalah komitmen yang berpanjangan. Kata orang, dalam seronok bercuti, junjunglah warisan semula jadi!

Process time in ms: 47