RENCANA UTAMA

Hotel terapung samudera

Hotel terapung samudera


SAMBUTAN daripada kumpulan muzik apabila pengunjung mendaftar masuk dalam kapal.


ADA sesetengah orang beranggapan melancong dengan kapal pesiaran adalah sesuatu yang membosankan.

Namun, bagi penulis yang berkesempatan menaiki sebuah kapal pesiaran mewah yang ditaja oleh sebuah syarikat pengendali program rekreasi pelancongan, Paximej Sdn. Bhd. ia adalah satu pengalaman mengujakan.

Paximej juga merupakan pelopor kepada program Adventure Community (AC) telah mengubah persepsi penulis mengenai konsep percutian dalam kapal ini.

Sama seperti menaiki sebuah kapal terbang, perjalanan dengan sebuah kapal pesiaran juga memerlukan anda mendaftar masuk di kaunter pendaftaran yang terletak di Jeti Star Cruise, Pulau Indah, Klang, Selangor.

Seperti lazimnya pasport diperlukan dan ia disimpan oleh pihak kapal persiaran Superstar Virgo. Semua barang yang dibawa diperiksa supaya anda tidak membawa sebarang peralatan yang berbahaya seperti seterika atau pemanas air elektrik.

Setelah semuanya selesai semua penumpang diberi sambutan istimewa oleh krew kapal sebelum melangkah masuk ke dalam isi perut kapal. Apabila menjejakkan kaki di atas kapal kami diberi sekeping kad yang bukan sahaja digunakan sebagai kunci untuk pintu bilik tetapi berfungsi sebagai kad kredit di atas kapal.

Melangkah ke dalam kapal pesiaran tersebut, ia sama seperti sebuah hotel bertaraf tujuh bintang menyebabkan penulis memberi jolokan kapal ini sebagai sebuah ‘hotel terapung’.

Hari pertama di atas kapal tersebut, pihak AC telah mengadakan satu majlis pelancaran khusus untuk memperkenalkan AC. Turut memeriahkan program empat hari tiga malam itu ialah beberapa selebriti jemputan.

Antara yang terlibat ialah penyanyi seperti dua bintang Akademi Fantasia; Dafi dan Adam, pelakon siri Jelatang; Ryzal, pengacara; Juliana Ibrahim, pendaki Gunung Everest wanita pertama negara; Marina Ahmad dan pendaki Gunung Everest, Ahmad Reduan Rozali.

Selepas majlis perasmian ringkas itu, penulis mengambil peluang untuk meninjau ke seluruh bahagian kapal untuk melihat kemudahan yang ada. Menariknya semua kemudahan tersebut sesuai untuk semua golongan dan peringkat umur.

Sebut sahaja apa sahaja aktiviti utama yang ada di darat, kapal pesiaran mewah ini tidak pernah ketinggalan. Jika anda kaki wayang, terdapat sebuah panggung mini yang menayangkan pelbagai filem menarik, manakala pada sebelah malam pula anda boleh meluangkan masa menyaksikan persembahan tarian di panggung teater.

Bagi yang pentingkan kesihatan terdapat sebuah gimnasium dan selepas penat meregangkan otot, anda boleh berendam seketika di kolam air panas atau berenang di kolam renang yang disediakan di situ.

Golongan wanita pasti tersenyum besar ketika menjadi penghuni sementara bahtera gergasi moden ini. Selain puluhan butik untuk membeli-belah, salon kecantikan menjadi tumpuan untuk mendandan dan mendapatkan rawatan muka.

Selain itu, kepada mereka yang lebih selesa dengan aktiviti bacaan, tidak perlu bimbang. Ini kerana terdapat sebuah perpustakaan yang menempatkan koleksi-koleksi buku, majalah dan akhbar, perkhidmatan melayari internet juga disediakan.

Bagi golongan kanak-kanak pula, terdapat arked permainan video tetapi kalau ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka leka bermain di situ, apa kata bawa mereka ke bahagian atas kapal dan bermain bola keranjang, bermain golf atau uji kekuatan menerusi aktiviti memanjat dinding.

Sekiranya pasangan yang mempunyai anak inginkan ketenangan dan saat indah berdua tetapi tidak mahu diganggu oleh anak-anak tinggalkan sahaja mereka di sebuah pusat jagaan untuk mereka bermain bersama rakan-rakan yang lain.

Jika sudah lapar, terdapat tiga buah restoran di atas kapal yang dapat memenuhi selera anda di Restoran Bella Vista, Pavillion dan Mediterranean yang dibuka kepada semua semua penumpang.

Segala urusan jual-beli di atas kapal hanya sah diperlakukan dengan mata wang Singapura. Anda boleh menukar mata wang tersebut di kaunter yang disediakan khas di lobi kapal.

Hari kedua kapal Superstar Virgo berlabuh di Pantai Patong, Pulau Phuket, Thailand pada pukul 9 pagi. Kami diberi masa sehingga 12 tengah malam untuk bersiar-siar di pulau tersebut. Pelanggan juga bebas keluar masuk ke dalam kapal kerana perkhidmatan bot disediakan setiap setengah jam.

Setibanya di jeti pulau tersebut, terdapat sekumpulan lelaki menawarkan perkhidmatan kenderaan seperti van, kereta atau tut-tut iaitu sejenis kenderaan beroda tiga yang popular di pulau tersebut.

Penulis bersama tujuh rakan yang lain mengambil keputusan untuk menyewa sebuah van yang berharga RM80 untuk bersiar-siar di sekitar pulau. Menariknya kami berpeluang untuk bersiar-siar di taman gajah, melihat pertunjukan monyet dan ular. Tidak ketinggalan kami sempat mencuba ketepatan sasaran kami apabila melakukan aktiviti menembak dan memanah.

Selepas itu, perjalanan diteruskan ke Pekan Phuket yang merupakan syurga membeli-belah khusus untuk pelbagai cenderamata.

Kami juga sempat menikmati makanan tom yam yang terkenal di negara Gajah Putih itu.

Kemudian kami dibawa pulang ke Pantai Patong yang pernah menjadi saksi tragedi tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004. Penulis dapat melihat beberapa tugu peringatan dibina di sepanjang pantai bagi memperingati kejadian tersebut.

Malah, pemandu van yang membawa kami bersiar-siar, Manoon Kaipong, menceritakan beliau turut kehilangan kedua ibu bapanya, selepas ombak besar meranapkan semua bangunan di kawasan tepi pantai.

“Saya kehilangan ibu bapa dan sedih setiap kali mengenangkan peristiwa itu, tetapi saya bersyukur kerana anak dan isteri saya selamat dalam kejadian itu, tetapi rumah dan van turut musnah,” kata lelaki itu.

Kini Manoon menggunakan van milik orang lain untuk mencari rezeki dan berusaha untuk mencari wang bagi membeli van sendiri.

Penulis turut berkesempatan membeli beberapa majalah dan cakera padat yang menunjukkan detik-detik hitam yang melanda kawasan tersebut yang dijual pada harga RM60.

Setelah seharian bersiar-siar, kami mengambil keputusan untuk pulang ke kapal pada pukul 9 malam dan berehat.

Hari ketiga kapal Superstar Virgo bergerak semula menuju ke Langkawi dan kami diberi peluang untuk menyertai program khas AC iaitu ke Kilim Geoforest Park, Langkawi yang diiktiraf Pertubuhan Bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Malam terakhir pihak Paximej Sdn. Bhd. telah berbesar hati untuk mengadakan jamuan khas. Sudah menjadi tradisi kapal tersebut bagi pelanggan yang ingin menyertai jamuan tersebut diwajibkan untuk memakai sama ada sut ataupun baju batik.

Apabila malam melabuhkan tirainya, kapal tersebut meluncur laju menuju pulang ke Jeti Star Cruise di Pulau Indah, Klang.

Yang pasti tatkala melangkah keluar meninggalkan kapal mewah ini pelbagai kenangan indah terakam di ingatan. Namun, paling penting ia telah menafikan persepsi awal bahawa percutian di kapal mewah mungkin sesuatu yang membosankan.

Varia!»

Ketokohan Bapa Perbankan Islam

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) menyampaikan Anugerah Diraja Kewangan Islam kepada Abdul Halim di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31