KESIHATAN

Bijirin pelangsing

Bijirin pelangsing


KHASIAT beras perang terletak pada lapisan dedak luarnya dan embrio.


BUKAN hanya warna membezakan beras ini dengan beras biasa. Walaupun beras yang berwarna coklat pudar ini jarang dimakan dalam diet masyarakat Malaysia, tetapi hakikatnya khasiat beras perang jauh mengatasi beras putih yang sudah menjadi menu ruji harian kebanyakan kita.

Adakah kerana warnanya, beras perang diklasifikasikan sebagai salah satu beras paling sihat? Sebenarnya beras perang dan beras putih berasal daripada beras yang sama. Cuma proses seterusnya selepas dituai yang membezakan hasil beras itu sama ada menjadi beras putih atau beras perang.

Menurut jurucakap syarikat beras Serba Wangi, P. Kamalanathan, beras perang terhasil apabila ia tidak menjalani proses mengilat atau memutihkannya seperti beras putih.

“Beras yang dituai, dikupas kulitnya dan diselaputi lapisan dedak yang kaya dengan zat bermanfaat.

“Ketika proses penghasilan beras putih, lapisan dedak ini dibuang menghasilkan beras berkilat. Bagaimanapun ia menyebabkan kebanyakan zat makanan yang terkandung di dalamnya juga hilang.

“Sedangkan untuk menghasilkan beras perang, lapisan ini dijaga dengan teliti. Malah ia melalui sistem teknologi khas untuk mengelakkan pengeringan padi memusnahkan khasiat penting yang terkandung dalam lapisan dedak dan embrio padi, katanya.

Siapakah yang sesuai mendapat manfaat daripada beras perang? Jelas pakar pemakanan dari Califonia, Dr. Victor Lombart, beras perang baik dimakan oleh individu yang ingin mengamalkan diet kalori rendah.

Terdapat beberapa khasiat penting beras perang yang menjadikannya istimewa iaitu kaya dengan nutrien vitamin B1, B2, B6, zat besi, magnesium, fosfat dan serat. Malah ia juga mengandungi kalsium yang lebih tinggi berbanding beras putih.

Justeru itu kata Lombart, beras perang sebenarnya wajar diambil oleh golongan remaja, dewasa mahupun warga emas. Ini kerana khasiat yang terkandung dalam beras perang menjaga kesihatan otak dan saraf selain mengurang risiko sakit jantung.

“Satu cawan beras perang menyediakan anda 88 peratus magnesium harian yang diperlukan tubuh. Mineral ini penting untuk kesihatan sistem saraf, mengawal paras kolesterol badan selain penghasilan hormon seks.

“Satu kajian oleh Sekolah Perubatan Harvard dan Hospital Wanita Brigham yang tercatat dalam jurnal American Jurnal of Clinical Nutrition mendedahkan, wanita yang mengambil beras perang secara puratanya berat badan yang lebih langsing berbanding wanita mengambil diet beras putih.

“Kajian ke atas 74,000 wanita mendapati 49 peratus wanita yang mengambil beras perang tidak menghadapi masalah obesiti,” katanya.

Walaupun beras perang sering diabaikan oleh kebanyakan pengguna kerana dikatakan kurang enak atau baunya yang kurang segar namun, tiada siapa dapat menafikan manfaat dan kebaikannya.

Varia!»

Warung lambang perpaduan rakyat

SUHAIMI menggunakan material bahan buangan seperti kayu yang diletakkan bersilang, bekas minuman, batu lesung dan kereta sorong dalam karyanya.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15