HIBURAN

Tiz anggap gosip mengarut

Tiz anggap gosip mengarut


TIZ ZAQYAH berasa serba salah dalam mendedahkan kisah percintaannya.


CINTA sesama artis memang mudah mengundang spekulasi. Mendedahkan salah, menyembunyikan daripada pengetahuan umum juga ada sahaja yang tidak kena.

Tidak terkecuali status cinta pasangan pelakon sensasi, Tiz Zaqyah Razak dan Remy Ishak yang mula mencetuskan tanda-tanya. Bermula dengan khabar angin dalam blog-blog hiburan, kemudian berpanjangan sehingga ke ruangan pojok surat khabar. Akhirnya Tiz sendiri membuka mulut. Ternyata, Tiz berusaha mempertahankan cintanya yang didakwa telah berkerat rotan dengan Remy.

“Saya anggap gosip itu tidak wujud, ia sama sekali tidak benar,” nafi Tiz menutup khabar panas yang bertiup kencang minggu lepas.

Awal minggu baru-baru ini, Tiz hadir tanpa ditemani Remy sempena tayangan perdana filem keduanya, Cinta Kura-Kura di Cineleisure, Damansara. Barangkali Remy ada urusan lain, sementelah baru pulang dari percutian singkatnya ke Jakarta, Indonesia pada minggu lepas.

“Dia (Remy) sudah pulang dari Jakarta,” ucap Tiz ketawa sepanjang meleraikan spekulasi yang bertimpa-timpa ke atasnya.

SENSASI BINTANG: Jadi ternyata cerita itu tidak benar?

TIZ ZAQYAH: Tidak, tidak benar sama sekali!

Rimas tak apabila timbul macam-macam cerita tentang hubungan kalian?

Itulah susahnya, bila kita mendedahkan, tidak mendedahkan pun sama juga situasinya. Jadi saya anggap gosip itu tidak wujud.

Apabila cerita-cerita tidak berasas kian banyak muncul, adakah ia menghantui hidup kalian?

Ini salah satu cabaran yang kami harus lalui, bila sudah terlalu banyak didedahkan, maka timbullah spekulasi begini.

Adakah cabaran-cabaran sebegini akan merapatkan lagi hubungan kalian?

Bukan ini yang kami mahu dalam hubungan kami, tapi apabila ia sudah berlaku, mahu tidak mahu, kami kena tempuhi juga.

Okey, baru-baru ini ada beberapa status Facebook Tiz yang menuduh media punca masalah dalam kalangan artis, adakah itu memberi gambaran Tiz cuba meluahkan ketidakpuasan hati kepada masyarakat atau media?

Tak, langsung tidak. Saya minta maaf jika ada pihak yang fikir perkara di sebaliknya. Soal Whitney itu saya maksudkan tentang masalah artis, artis Malaysia tak boleh dibandingkan dengan artis luar, tapi jika artis di Amerika sendiri tidak mampu mengawal diri, apatah lagi artis kita di sini. Kritik dan hukuman peribadi oleh masyarakat itu akan memburukkan lagi keadaan jika seseorang artis itu terlibat dengan masalah seperti dadah dan lain-lain.

Bagaimana pula dengan status dalam akaun Twitter Tiz?

Okey, saya mahu maklumkan di sini, itu adalah akaun palsu, saya sudah lama menutup akaun Twitter sejak Julai lepas, sekarang saya hanya guna Facebook untuk berkomunikasi dengan peminat.

Bila berlaku salah tafsir begitu, adakah Tiz merasakan soal privasi Tiz langsung tidak dipedulikan?

Bila orang cepat menghukum, privasi itu sudah tidak lagi wujud. Saya mengakui, masih mahu menyimpan ruang privasi untuk saya seorang tetapi inilah ‘pakej’ yang datang bersama status selebriti. Saya kena pandai-pandai sendiri untuk seimbangkan keadaan.

Sekarang anda muncul dengan filem romantik komedi, dalam Cinta Kura-Kura itu ringan dan santai. Setuju atau tidak jika dikatakan bahawa selepas watak Nur Amina dalam Nur Kasih (drama dan filem), watak-watak lain seperti mendatar sahaja impaknya?

Sebenarnya susah untuk mendapat watak yang kuat serta naskhah yang ada jalan cerita yang bagus. Saya tak boleh terlalu memikirkan keadaan itu, takut gila pula nanti. Jadi pelakon, saya kena seimbangkan juga, ada masa bawa watak ringan, ada masa lain watak berat pula.

Iklan@KOSMO!