SUKAN
Masih boleh dibanggakan - PKBM

PENCAPAIAN mengutip dua pingat emas, tiga perak dan enam gangsa pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2009 (ACC) di Kalimantan, Indonesia dianggap kejayaan membanggakan.
Demikian komen Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad semalam.
Biarpun gagal mengulangi pencapaian tiga pingat emas pada edisi 2008 di Nara, Jepun, Naim bagaimanapun memberitahu, kejayaan kali ini masih boleh dibanggakan.
"Prestasi pelumba kita pada ACC ini tetap bagus," kata Naim pada sidang akhbar Jelajah Timor Leste semalam.
"Walaupun dua pelumba sensasi kita, Azizulhasni (Awang) dan (Mohd.) Rizal (Tisin) gagal dalam acara kegemaran masing-masing tetapi mereka masih mampu menebusnya dengan memenangi acara lain."
Kutipan keseluruhan 11 pingat pada kejuaraan tersebut tetap berjaya mengatasi pencapaian lapan pingat pada kejuaraan edisi di Nara tahun lepas.
Dua emas negara diraih menerusi Azizulhasni dalam acara 200 meter pecut lelaki elit serta acara pecut berpasukan lelaki elit.
Tiga perak pula diraih Hafiz Sufian (keirin lelaki elit), Mohd. Rizal Tisin (1km ujian masa lelaki elit) dan Mohd. Adiq Hussainie (acara lebuh raya remaja lelaki).
Enam gangsa pula diraih menerusi Fatehah Mustapha (keirin wanita elit, 500m ujian masa wanita elit), Mohd Adiq Hussainie (scratch remaja lelaki), trio pecut berpasukan remaja lelaki, Mohd Adiq Hussainie dan Zulhilmi (madison remaja lelaki) dan Mohd. Fattah Amri Zaid (keirin remaja lelaki).
Sementara itu, pada majlis semalam, Kencana Petroleum menerusi pengarah eksekutifnya, Azmi Ismail menyerahkan tajaan RM30,000 kepada skuad mountain bike negara yang akan menyertai Jelajah Timor Leste pada 24 hingga 28 Ogos ini.
Seramai tujuh pelumba mountain bike negara akan menyertai kejohanan jelajah tersebut iaitu Shahrin Amir, Noorshahril Aizad, Mohd. Ain Mohd. Fauzi, Nicklaus Muner, Junaidah Jus, Nur Azian Alias dan Maizatul Md. Radhi.




Moden chic Jalan Masjid India
Bebas yang bertanggungjawab
Saraf bahu terkoyak