HIBURAN

Uji kreativiti pelajar filem - <i>Festival Filem dan Video Pelajar keenam</i>

Uji kreativiti pelajar filem - Festival Filem dan Video Pelajar keenam


SEBAHAGIAN peserta gembira menerima peruntukan untuk proses penggambaran masing-masing.


DEBARAN kemuncak Festival Filem dan Video Pelajar (FFVPM) keenam sudah mula 'menghantui' para peserta setelah masing-masing berjaya mengharungi cabaran yang pertama kali diadakan iaitu peringkat Super Pitch.

Peserta di peringkat Super Pitch yang disertai oleh 40 kumpulan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) disarankan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mereka berhubung prosedur yang perlu dilalui sebelum pembikinan sesuatu penggambaran.

Pengerusi Penjurian Dr. Muhamad Sham Shahkat Ali memberitahu, pelajar diwajibkan untuk menghadiri Super Pitch bagi melayakkan kumpulan masing-masing untuk terpilih ke peringkat akhir yang memerlukan proses penggambaran terlebih dahulu.

"Penyertaan memang memuaskan. Kesemua peserta memberikan persediaan yang bijak. Melalui peringkat Super Pitch yang diadakan minggu lalu, kami telah memilih sebanyak lima kumpulan untuk layak bertanding bagi setiap kategori.

"Bagi kategori dokumentari kami menerima 15 penyertaan dan kategori Filem atau Video Pendek pula sebanyak 25 penyertaan," jelasnya ketika sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.


DEKAN Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr. Ibrahim Salleh (dua dari kiri) meneliti peralatan yang akan digunakan oleh peserta dalam menghasilkan produksi masing-masing.


Dalam pada itu, Muhamad turut menjelaskan, penjurian terhadap setiap kumpulan yang layak terpilih dinilai berdasarkan beberapa aspek penting antaranya sinopsis, jalan cerita tema, pemilihan watak dalam setiap lakonan dan lokasi penggambaran.

Kumpulan bagi kategori Filem atau Video Pendek yang terpilih untuk ke peringkat seterusnya ialah dari Universiti Lim Kok Wing berjudul Let's Play A Game, Universiti Tengku Abdul Rahman (UTAR) dengan Rewind, Universiti Teknologi Mara Melaka (UiTM Melaka) menampilkan Aidan Damia, Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) dengan Mengintai Kasih dan UPM mempertaruhkan Kasih Mastura.

Manakala bagi kategori dokumentari pula, UTAR dengan projek mereka berjudul Witty Wings, UiTM Melaka dengan Nabi Palsu, UPM mempertaruhkan Autisme, Aswara menampilkan Cenuai dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Tagal Sungai Moroli Ranau.

Setiap penyertaan yang terpilih akan menerima peruntukan sebanyak RM2,500 bagi kategori Video Pendek, manakala produksi untuk Dokumentari pula akan menerima dana berjumlah RM2,000.

Pengerusi FFVPM6, Dr. Megat Al Yassin pula memberitahu, setiap kumpulan tidak dibenarkan menerima mana-mana peruntukan tambahan dari pihak lain untuk menyiapkan tugasan yang diberikan itu.

"Peruntukan yang diberikan kepada setiap kumpulan sebenarnya sudah memadai. Mereka perlu bijak agar kos penerbitan tidak melebihi peruntukan yang diberikan itu," katanya.


GENERASI harapan dunia filem. Barisan peserta FFVPM yang bakal bersaing sesama sendiri.


Lima cadangan terbaik bagi video dan dokumentari yang terpilih pada pertandingan Super Pitch akan memulakan penggambaran pada 15 November hingga 13 Disember ini.

Bagi dua kategori ini, durasi yang ditetapkan tidak lebih daripada 30 minit dan setiap karya haruslah diisi dengan tema-tema tertentu. Ia termasuklah elemen kasih sayang, budaya atau warisan, pembangunan sosial masyarakat, alam sekitar, isu remaja, emansipasi wanita, futuristik dan perpaduan sosial.

Kategori Video Pendek dalam Anugerah Perdana ini dibahagikan kepada beberapa anugerah iaitu Video Pendek Terbaik, Pengarah Video Pendek Terbaik, Pelakon Lelaki Ter baik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Suntingan Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Penataan Bunyi Terbaik.

Kategori Dokumentari Terbaik pula menawarkan lima anugerah termasuklah Dokumentari Terbaik, Pengarah Dokumentari Terbaik, Penyelidikan Dokumentari Terbaik, Visual Terbaik dan Suntingan Terbaik.

Sementara itu, setiap penyertaan dalam Anugerah Perdana akan ditayangkan kepada penonton sepanjang tiga hari festival itu berlangsung bermula 8 Januari 2009 bertempat di UPM dan acara gilang gemilangnya pula diadakan pada 10 Januari.

Kesemua penyertaan yang layak untuk diiktiraf sebagai karya terbaik akan dinilai oleh juri-juri profesional seperti Zainal Ariffin Ismail dari Media Prima, Shahila Harun Shah mewakili Primeworks, Penerbit Dokumentari Zaki Abd. Rahim, Pengarah Urusan Radio 24 Letfee Ahmad dan Presiden Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) Syed Mohammad Hassan Benyahya.

Lebih bertuah lagi, karya-karya terbaik yang dipilih sebagai pemenang akan menerima hadiah lumayan daripada pihak penaja iaitu empat unit kamera profesional Panasonic AG-HMC72EN bernilai RM10,000, manakala seunit kamera profesional Panasonic AG-HMC152EN berharga RM19,000.

Selain itu, hala tuju setiap pemenang juga tidak terhenti di sini sahaja malah mereka juga berpeluang untuk mencuba nasib mempertaruhkan hasil kreativiti karya masing-masing di peringkat antarabangsa.

Inilah janji Pengarah Pembangunan Perbadan Filem Nasional (Finas), Che Khalid Maulod bertujuan untuk memperkembangkan lagi idea-idea bernas setiap peserta untuk dibawa ke peringkat lebih global.

"Kita akan ketengahkan karya para pelajar kerana negara luar sentiasa menganjurkan festival bagi kategori sebegini.

"Malah, Finas juga tidak keberatan untuk mempelawa mereka bagi menghadiri setiap kursus berkaitan perfileman yang dianjurkan oleh Finas," tambah Che Khalid.