REKREASI

Berlari, mengayuh, berlari

Berlari, mengayuh, berlari


HAIDELEE MOHAMMAD (kiri) dan kakaknya, Mariana Mohammad berkongsi kegembiraan sebagai juara MUDS 2008.


PERTANDINGAN duathlon iaitu menggabungkan dua acara dalam satu perlumbaan bukanlah sukan baru di negara ini. Salah satu perlumbaan yang popular tentunya Siri Duathlon Universiti Malakoff 2008 (MUDS), run-bike-run, yang memerlukan peserta berlari, mengayuh basikal dan berlari semula untuk menamatkan pertandingan.

Menawarkan tujuh kategori utama iaitu universiti lelaki dan perempuan, terbuka lelaki dan perempuan, bergilir-gilir lelaki dan campur serta kategori khas bagi pihak media.

Cabaran MUDS 2008 memerlukan peserta mencabar kecerdasan mental dan fizikal mereka diuji dengan laluan yang bukan mudah. Acara dimulakan dengan larian sejauh empat kilometer (km), diikuti kayuhan basikal sejauh 20 km sebelum diakhiri dengan satu lagi larian empat km.

Menariknya cabaran akhir yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyaksikan dua peserta bersaudara menjuarai kategori masing-masing.

Haidelee Mohammad, 25, dan kakaknya, Mariana Mohammad, 30, membuktikan kehebatan mereka apabila bergelar juara kategori terbuka lelaki dan wanita.


ACARA berbasikal sejauh 20km menguji stamina peserta.


Menurut Haidelee, dia menganggap cabaran ini merupakan cabaran besar baginya. Walaupun sudah biasa dengan pelbagai perlumbaan, dia masih mahu meneruskan aktiviti ini sama ada kalah atau menang.

Kakaknya, Mariana pula mengakui terkejut dengan kemenangan itu kerana tidak menyangka beliau dan adiknya mampu meraih keputusan yang sama.

Bagi juara kategori universiti wanita, Nor Juliana Ali, 26, kemenangan itu amat berharga bagi dirinya kerana perlumbaan itu disertai bukan calang-calang peserta.

"Ini merupakan satu latihan kepada kepada diri saya. Kemenangan ini membuka lebih banyak peluang untuk lebih maju dan serius dalam bidang ini. Cabaran halangan laluan yang sukar ini menguji diri saya dalam melakukan yang terbaik," kata penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIIAM) yang berjaya mencatat masa 1 minit 27 saat.

Sementara itu, juara kategori universiti lelaki, Chan Jun Shen, 18, yang juga peserta UPNM selaku tuan rumah muncul juara dengan cacatan masa yang terbaik iaitu 55 minit.

"Walaupun sudah biasa dengan litar perlumbaan, saya tetap merasakan ini sebagai satu cabaran. Lebih-lebih lagi dengan keadaan jalan yang berliku-liku. Strategi dan jurulatih yang sentiasa membatu saya dalam merealisasikan impian saya untuk bergelar juara," katanya.

Bagi kategori media telah dimenangi oleh Ahmad Zakki Jilan wakil dari akhbar Utusan Melaysia. Setiap peserta yang berjaya menerima trofi, hamper dan sijil penyertaan.


PARA peserta perlu berlari sejauh empat kilometer bagi menamatkan acara perlumbaan.


Pertandingan itu melibatkan kerjasama antara beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTS) dengan tajaan sepenuhnya oleh Malakoff Corporation Berhad dan PowerBar.

Menurut wakil Malakoff Corporation Berhad, Endie Tofil, Malakoff sentiasa menyokong aktiviti ini kerana yakin dengan bakat dan kualiti para setiap peserta.

Selain memperkenalkan bakat baru dalam sukan, aktiviti ini sebagai persediaan awal bagi generasi baru mengembangkan lagi bakat semula jadi mereka bagi mewakili negara pada masa akan datang.

"Saingan secara sihat antara peserta, jurulatih yang berkelayakan, latihan intensif, teori dan strategi perlawanan berupaya memberikan komitmen dan kelayakan dalam semua peringkat," katanya.