Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Lim Yew Hoe berkata, dengan peruntukan perbelanjaan modal bernilai RM25 juta bagi kilang tersebut, langkah itu dilaksanakan bagi memacu pertumbuhan eksport serta memenuhi permintaan pasaran domestik.

“Ketika ini, kilang tenusu kami di Pulau Indah mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 16 juta kotak, ia dijangka dapat dipertingkatkan kepada 20 juta kotak menerusi inisiatif yang dilaksanakan ini.

“Ini seterusnya dapat memacu sasaran syarikat untuk mencapai jualan eksport bagi Malaysia yang bernilai RM500 juta menjelang tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan F&N yang ke-56 di sini semalam.

Sehingga kini, F&N mempunyai lima kilang minuman yang terletak di Shah Alam, Selangor; Bentong, Pahang; Kuching dan Matang, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah serta sebuah kilang tenusu di Pulau Indah.

Selain itu, ia turut mempunyai dua buah kilang di Thailand yang terdiri daripada kilang susu pekat di Rojana dan kilang susu segar di Pakchong.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penambahbaikan produk-produk F&N, Yew Hoe berkata, pihaknya bakal mengeluarkan varian terbaharu yang mempunyai kan­dungan gula rendah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kami menyedari trend rakyat Malaysia kini yang le­bih mementingkan kesihatan, dan disebabkan itu F&N akan menawarkan pilihan produk yang lebih sihat untuk orang ramai,” ujarnya.