Program berkonsepkan gotong-royong itu melibatkan lebih daripada 100 peserta yang terdiri daripada anggota dan pegawai TLDM selain penduduk di sekitar yang menjadi ahli kariah surau berkenaan.

Program berkenaan merupakan anjuran Kelab Bintara Markas Tentera Laut, Kuala Lumpur dan Persatuan Generasi Kedua Keramat Jaya serta turut mendapat kerjasama daripada Veteran TLDM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ketika berucap semasa merasmikan program tersebut, Asisten Ketua Staf Operasi Dan Eksesais, Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Datuk Syed Zahrul Putra Syed Abdullah berkata, ia merupakan salah satu program turun padang yang telah disusun pihaknya bagi membolehkan anggota dan pegawai TLDM mendekati anggota masyarakat setempat menerusi aktiviti santai.

Turut hadir adalah Pengerusi Surau Al-Ikhlasiah Keramat Jaya, Datuk Abdul Razak Abd. Majid serta Pengerusi Persatuan Generasi Kedua Keramat Jaya, Sarjan (B) Safawi Adnan.