Pengarah Eksekutifnya, Ariffin Sabirin (gambar) berkata, sambutan masyarakat yang semakin baik terhadap perkhidmatan yang ditawarkan itu disebabkan oleh ke­sedaran yang semakin tinggi mengenai kepentingan perancangan harta pusaka dalam kalangan umat Islam di samping pengenalan pelbagai produk serta perkhidmatan inova­tifnya.

“Jumlah perunding harta pusaka profesional yang terlatih dan semakin ramai yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran dalam masyarakat juga menyumbang secara signifikan kepada kejayaan Wasiyyah Shoppe memperoleh lebih ramai pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Wasiyyah Shoppe sentiasa menekankan kepada pembangunan produk dan perkhidmatan peranca­ngan dan pengurusan harta pusaka yang inovatif tetapi masih di dalam ruang lingkup yang dibenarkan hukum syarak.

Pembangunan produk ini dibantu oleh panel syariahnya yang berpe­ngalaman lebih dari 35 tahun di dalam bidang fikah pewarisan.

“Keperluan umat Islam hari ini semakin kompleks dan portfolio aset yang dimiliki juga semakin rencam. Ia sekali gus menyebabkan proses pengurusan harta pusaka mereka menjadi lebih mencabar.

“Hasrat masyarakat untuk me­ngurus dan mewariskan aset-aset mereka yang terikat dengan pelbagai akta ini, mustahil boleh dicapai dengan penyediaan wasiat semata-mata kerana fungsi wasiat yang terhad,” ujar beliau.

Ariffin menerangkan, syarikat membangunkan 24 jenis produk pewarisan harta untuk umat Islam yang memenuhi hampir segala ke­perluan hasrat pewarisan umat Islam yang menjadikan ia organisasi yang menawarkan produk paling komprehensif di Malaysia.

Tambah beliau, ia bersesuaian untuk segmen pasaran pelanggan biasa sehinggalah kepada segmen pasaran pelanggan bernilai tinggi.