Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad, majlis tersebut dilaksanakan bagi menghargai jasa dan komitmen kakitangan yang telah mengangkat imej MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan yang cemerlang dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya warga kota Shah Alam.

“Seramai 113 orang warga kerja MBSA dari pelbagai gred dan jawatan telah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Pihak MBSA menghargai komitmen warga kerja kami dengan meraikan kakitangan yang merupakan aset utama dan tulang belakang yang memainkan peranan penting bagi memperkasakan pengoperasian organisasi MBSA.

“Pemberian anugerah ini menjadi dorongan kepada seluruh warga kerja MBSA untuk mempertingkatkan prestasi kerja dan melaksanakan tugasan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.