Program yang menggabungkan dua acara kecil iaitu Our Stolen Future (OSF) dan Grateful and Giving (2G) itu merupakan anjuran Jabatan Biologi UPM dengan kerjasama para pelajar semester dua hingga enam jurusan Sains Biologi UPM.

Pengarah Program 2G, Mohammad Amirul Faiz Zulkiply berkata, aktiviti itu diadakan untuk menerap dan memperkasakan kemahiran insaniah seperti semangat kerjasama, tanggungjawab, kemahiran berkomunikasi serta nilai etika dalam diri.

“OSF merupakan satu program yang diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang kesan buruk pencemaran alam sekitar terhadap manusia dan haiwan manakala 2G adalah program yang melibatkan komuniti kanak-kanak istimewa seperti autism dan cerebral palsy,” katanya.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu juga diisi dengan aktiviti perlumbaan meneroka, gotong-royong dan sesi ceramah bersama para guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di daerah Besut serta Modul Sains Bakeri untuk kanak-kanak istimewa.