Saat didekati, pemilik karya What are you looking at? itu tampil dengan falsafah seninya yang lebih kepada jerih perih kehidupan gelandangan di tengah bandar.

Ketiga-tiga karya yang penuh bermakna itu merupakan idea Yim Yen Sum, 31, yang merupakan pemenang utama Painting of the Year Bank United Overseas 2016.

Dia adalah antara 11 artis yang terlibat pada pameran seni Through Ros-Tinted Glasses yang berlangsung di Galeri Wei Ling, The Garden Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ilham

Menurut Yen Sum, karya itu menterjemahkan nasib gelandangan yang terpinggir walaupun pembangunan bandar tersebut begitu pesat.

“Saya mendapat ilham untuk menghasilkan karya ini setelah melawat bandar-bandar utama di India. Saya melihat begitu ramai gelandangan.

“Mereka langsung tidak dipedulikan oleh orang yang lalu-lalang. Mereka seolah-olah dianggap sebagai parasit di tengah bandar yang pesat membangun,” katanya ketika di temui Kosmo! baru-baru ini.

Yen Sum berkata, isu gelandangan bukan suatu perkara yang baharu di sesebuah negara tetapi sehingga kini masih tiada jalan terbaik untuk menanganinya.

“Isu gelandangan telah lama menghantui, terutamanya di negara-negara yang sedang membangun. Namun, sehingga kini masalah itu masih tidak dapat ditangani dengan berkesan,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Yen Sum menambah, latar belakang ketiga-tiga potret yang berlatarkan kain kasa itu adalah untuk menggambarkan tahap keseriusan hubungan antara bandar yang pesat dengan golongan gelandangan.

“Saya menggunakan figura seorang pemuda, wanita tua yang memakai sari dan sepasang adik-beradik berlatarkan kain kasa iaitu kain yang digunakan untuk merawat kecederaan.

“Secara tersuratnya, kain kasa menjadi simbol penyembuhan sesuatu kecederaan. Saya melihat isu gelandangan ini sebagai penyakit yang perlu dirawat dengan segera,” tambahnya.

Bagi Yen Sum, pembangunan sesebuah bandar perlu mengambil kira gelandangan yang tidak memiliki tempat tinggal.

“Mereka juga berhak untuk hidup dengan selesa. Sekiranya masalah ini tidak ditangani, pembangunan sesebuah bandar itu tidak bermakna sama sekali,” ujarnya.

Kecenderungan

Dalam pada itu, Yen Sum berkata, pelbagai pengalaman diperoleh sepanjang berkecimpung dalam dunia seni.

“Saya banyak mempelajari masa lalu untuk mengetahui masa depan. Ia akan mengajar kita untuk mengenali diri sendiri dan berusaha menjadi lebih baik,” katanya.

Menyedari tidak mempunyai bakat lain yang boleh ditonjolkan, diaberusaha sebaik mungkin untuk berjaya dalam akademik, namun keputusan yang diperoleh kurang memberangsangkan.

Katanya, seni adalah satu-satunya peluang untuk menonjolkan diri dan membuat keputusan melanjutkan pengajian di Dasein Academy Of Art, Kuala Lumpur.

Yen Sum mengakui keluarganya memberi sokongan penuh apabila dia membuat keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang seni.

“Setelah saya memenangi hadiah utama Painting of the Year Bank United Overseas 2016, kebimbangan mereka mulai pudar dan yakin dengan kemampuan yang saya miliki,” jelasnya.