Bidang seni yang terlibat ialah seni visual, fotografi dan digital. Program itu menyediakan sesi tunjuk ajar kepada bakat-bakat baharu dan platform untuk membawa hasil kerja mereka ke pasaran domestik dan global.

Inisiatif rintis itu membawa 15 artis Malaysia yang akan diberi tunjuk ajar selama 12 bulan oleh pakar-pakar kreatif yang disegani di negara ini.

Pengarah Urusan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata, yayasan itu percaya seni harus memberi definisi identiti masyarakat, mendekatkan antara satu sama lain menerusi penghargaan terhadap budaya dan warisan.

“Oleh itu, kami menjadikan seni sebagai fokus utama usaha yayasan ini, terutamanya membimbing bakat-bakat baharu pada masa yang sama meningkatkan industri seni ke tahap yang seterusnya.

“Usaha oleh Giclee dan seniman-seniman yang baharu adalah langkah positif dan kita berharap mereka akan bertindak untuk menjadikan karya mereka lebih dikenali dan dihargai,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Langkah itu juga mampu meningkatkan nilai eksport sektor seni yang meningkat 15 peratus kepada RM3.8 juta pada tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya. Ia didorong oleh permintaan yang semakin meningkat oleh pelancong dan pengumpul antarabangsa.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Giclee Art, Wesley Wong berkata, negara ini sentiasa mempunyai landskap seni yang bersemangat dengan bakat yang asli dan pelbagai rencam.

“Bagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang diketahui di luar daripada komuniti artistik. Kita mahu mengubah keadaan itu dengan menonjolkan karya tempatan,” katanya.

Pihaknya turut bekerjasama dengan Ilford Galerie yang akan mempamerkan karya-karya mereka.

Menerusi program itu, Yayasan Hasanah dan Giclee Art melancarkan artiKARYA, laman web yang menyediakan maklumat mengenai latar belakang artis selain menjadi medium untuk pembelian karya cetakan digital mereka. Ia juga bertindak sebagai galeri maya untuk mendapatkan perhatian pasaran dalam dan luar negara.