Cabaran untuk mendapatkan ramuan dan bahan asli, tidak mewarisi petua atau resipi memasak di samping proses pembuatan yang renyah dikatakan antara faktor resipi kuih-muih tempatan itu kian lenyap ditelan zaman.

Menyedari hakikat itu, Yayasan Hasanah yang dimiliki Khazanah Nasional Berhad bekerjasama dengan Friedchillies Media Sdn. Bhd., untuk mendokumentasi sajian generasi terdahulu itu menerusi projek Kuih Warisan Ihsan Haridepan (KWIH).

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata, ia bagi memastikan teknik-teknik pembuatan dan petua yang dapat menambahkan keenakan didokumentasi dengan teliti bagi mengekalkan keaslian dan kesempurnaan rasa kuih-muih terlibat.

Inspirasi

“Setakat ini, sebanyak 80 resipi berjaya dihimpunkan dan Yayasan Hasanah merancang menerbitkannya dalam bentuk buku serta video. Ia akan dikongsikan untuk tatapan masyarakat Malaysia.

“Inisiatif itu diharap dapat mencetuskan inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus menghidupkan seni warisan pembuatan kuih tradisional Melayu,” ujarnya kepada Kosmo! pada sesi bual bicara projek KWIH di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun (PKKTB), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar PKKTB, Raja Mazlena Raja Aziz; Ketua Warisan dan Seni Budaya Yayasan Hasanah, Zainariah Johari; Pengerusi PKKTB, Datuk Seri Raja Azureen Sultan Azlan Shah; Datuk Cef Ismail Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies Media Sdn. Bhd., Mohd. Adly Rizal.

Sementara itu, pengasas bersama merangkap Ketua Kandungan FriedChillies Media Sdn. Bhd., Ani­za Ahmad Azizuddin berkata, dia sendiri bersama anggota kumpulannya telah menjejaki pakar kuih tradisional Melayu seluruh negeri di sebelah Pantai Barat Malaysia seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor.

Menerusi usaha pencarian yang dijalankan bermula pada bulan Ramadan tahun lalu, pihaknya mendapati, kebanyakan kuih orang dulu-dulu hanya menggunakan beberapa bahan yang ringkas.

Sebagai contoh, bubur somsom yang terkenal di Johor hanya memerlukan ramuan utama seperti tepung beras, tepung jagung dan santan sebelum disira dengan air gula melaka.

“Kami menganggap somsom sebagai ibu kuih. Adunan itu jika dikukus ia akan menjadi kuih bongkong atau sesetengah tempat memanggilnya tepung bungkus. Jika dicampur pisang, ia akan menjadi kuih nagasari pisang.

“Bahan yang lebih kurang sama turut boleh diolah menjadi kuih tepung pelita, kuih koci, kuih sopang dan onde-onde. Di sinilah terletaknya hasil kreatif orang dulu-orang dahulu mencipta resipi kuih,” ujarnya.

Pendapatan

Berkongsi cabaran mengumpul resipi itu, anak jati Ipoh, Perak tersebut bercerita, ada antara individu yang ditemui enggan berkongsi resipi kerana ia dianggap rahsia keluarga sementelah ia menjadi punca pendapatan mereka.

“Justeru, kami berharap, dengan pendedahan resipi serta format langkah demi langkah yang ditunjukkan dapat memberi panduan kepada mereka yang berminat untuk mempelajari pembuatan kuih-muih tradisional ini.

“Kami turut menghasilkan video yang dimuat naik di akaun YouTube untuk memberi gambaran jelas kepada orang ramai, sekali gus memudahkan pengguna laman maya yang gemar menggunakan bantuan gajet mencari idea masakan atau resipi baharu,” tuturnya.

Pada masa hadapan, pihaknya berhasrat untuk menganjurkan pesta kuih tradisional bagi memberi pendedahan menyeluruh mengenai warisan negara itu di samping memperluaskan usaha pemetaan kuih melibatkan negeri di sebelah Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

“Industri penghasilan kuih mempunyai potensi besar kerana mampu menarik pelancong ke kawasan desa dan pedalaman bagi melihat sendiri kepelbagaian sajian warisan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini,” katanya.