Melihat peranan tersebut sebagai tanggungjawab yang perlu dilunaskan, YaPEIM baru-baru ini mengumumkan penubuhan Pusat Baharu Pertumbuhan Ekonomi (CEG) di 100 penempatan nelayan di seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin, projek itu bakal dilaksanakan secara berperingkat mulai awal tahun depan selaras dengan misi YaPEIM membangunkan ummah.

“Projek ini bertujuan membantu nelayan, penduduk setempat dan golongan sasar B40 yang berpendapatan purata bulanan bawah RM3,860.

“Selain itu, CEG juga dilihat dapat mengurangkan kos dan memudahkan urusan perniagaan mereka melalui beberapa usaha seperti pembekalan minyak dan diesel, pembelian dan pemasaran ikan di samping menangani masalah hutang melalui pelaksanaan sistem gadaian emas.

“Bahkan, CEG juga membantu usahawan setempat yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) untuk memasarkan produk mereka di YaPEIM Mart dan ke luar kawasan melalui penghantaran pos,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu kota baru-baru ini.

CEG melibatkan 100 lokasi penempatan nelayan di seluruh negara iaitu 50 di Semenanjung, 20 di Sabah. manakala 30 lagi di Sarawak.

Buat masa sekarang, CEG telah diperkenalkan di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah.

Projek tersebut diwujudkan melalui kerjasama strategik antara YaPEIM, Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pos Malaysia Berhad dan Petro Teguh.

Tambah Abibullah, CEG tertumpu di kawasan penempatan nelayan kerana matlamat asalnya untuk membekalkan petrol dan diesel kepada golongan itu me­lalui pembinaan kios petrol.

Matlamat CEG juga adalah mengurangkan harga barang pada kadar terendah tanpa melalui orang tengah.

Jelasnya, apabila harga lebih murah, permintaan akan meningkat selain kos sara hidup masyarakat dapat dikurangkan.

Komponen

CEG menampilkan empat komponen utama iaitu Petrol Kiosk, Ar-Rahnu Akses, Kaunter Pos dan YaPEIM Mart iaitu kedai berkonsep serbaneka.

Selain itu, YaPEIM Mart yang dibina menggunakan kontena bersaiz 40 kaki (12 meter) panjang juga disediakan untuk menjual pelbagai bara­ngan termasuk produk IKS.

“Kami akan menempatkan pusat IKS dan pusat pembungkusan bahan-bahan seper­ti ikan kering, ikan masin, ikan bilis dan udang kering.

“Melalui cara itu produk boleh terus diedar ke kedai runcit di seluruh negara dengan harga murah.

“Di sebelah pusat pembungkusan pula akan ditempatkan mesin pengering yang diiktiraf bersih dan halal,” jelasnya.

Mesin itu digunakan sebagai alternatif bagi menggantikan kaedah menjemur di bawah cahaya matahari.

Kemudahan terpenting dalam projek itu adalah kontena penyejuk bersaiz 40 kaki (12 meter) yang mampu menyimpan bahan makanan sebanyak 25 tan.

Petrol Kiosk pula menggunakan konsep Sistem Kontena Mudah Alih (PCS) yang berkeluasan 20 kaki (6 meter) panjang.

Ia membolehkan nelayan membeli bahan bakar itu pada harga subsidi menggunakan baucar yang dikeluarkan oleh LKIM.