Perlumbaan mencipta teknologi ini memberi kelebihan kepada manusia antaranya memudahkan mereka mendapatkan maklumat terutamanya dalam kalangan pelajar.

Kemajuan teknologi juga memudahkan manusia memperoleh maklumat dan meluaskan minda mereka.

Selain pendidikan, kita juga memperoleh maklumat berkaitan hiburan, isu-isu politik dan sebagainya.

Keturunan Lebai Taib tidak ketinggalan untuk menggunakan teknologi itu apabila menjadikan aplikasi WhatsApp bagi mengatur perjumpaan terbesar pertama keluarga tersebut di Cahaya SPK Resort Club, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pengerusi Waghih Lebai Taib, Nor Azhar Ibrahim, 66, berkata, ia digerakkan sejak lima bulan lalu dengan objektif untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim walaupun generasi awal telah meninggal dunia.

Katanya, perjumpaan bersejarah itu dilakukan setelah 77 tahun Lebai Taib meninggal dunia.

“Pada pendapat kami, jika kami tidak melakukannya pada tahun ini, tiada siapa yang akan melakukannya dan akhirnya ikatan kekeluargaan ini akan dilupakan begitu saja.

“Melalui pertemuan ini, seramai 150 ahli keluarga dari generasi ketiga hingga keenam berusia lima bulan hingga 90 tahun berjaya ditemukan termasuk dari Mekah, Arab Saudi,” katanya kepada Kosmo! di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Nor Azhar memberitahu, keturunan generasi itu berasal dari Kampung Terachi Batu 16 1/2, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Katanya, sepanjang hidup Lebai Taib yang dilahirkan pada 1860, dia telah mendirikan rumah tangga bersama empat orang isteri bermula daripada Sondan, Halimah, Teriah dan Tiada.

“Hasil kesemua perkahwinan itu, Lebai Taib dikurniakan seramai 12 orang anak dengan empat lelaki dan selebihnya adalah perempuan.

“Lebai Taib juga merupakan seorang ahli agama setelah belajar di sekolah pondok di Pattani, selatan Thailand,” katanya.

Penghormatan

Jelasnya, sepanjang penubuhan keturunan yang disebut sebagai Waghih Lobai Taib itu, perkara pertama yang mereka lakukan ialah membaik pulih kubur Lebai Taib di Tanah Perkuburan Kampung Paoh, Terachi, Negeri Sembilan yang menelan belanja sebanyak RM1,600 menggunakan batu sungai.

Ini adalah sebagai langkah dalam memastikan pusara ketua generasi mereka terpelihara setelah meninggal dunia pada 25 Mei 1940 pada usia 90 tahun.

“Biarpun, kami tidak pernah mengenali secara dekat Lebai Taib, proses baik pulih pusara itu adalah penghormatan daripada generasi yang ada ketika ini.

“Melalui Allahyarham, wujudlah kami yang ada antaranya menjadi bekas Ahli Dewan Undangan Dengkil pada tahun 1969 sehingga 1971 iaitu Raja Nong Chik Raja Ishak selain profesional peguam, doktor, jurutera dan akauntan,” katanya.

Majlis yang berlangsung selama lima jam bermula pukul 11 pagi itu dimeriahkan dengan pelancaran logo rasmi Waghih Lobai Taib dan pelbagai acara sukaneka.

Sementara itu, Abd. Khalid Abd. Ghani, 63, berkata, dianggarkan terdapat 500 ahli keluarga keturunan tersebut yang kebanyakannya tinggal di Kuala Pilah.

Katanya, mereka terdiri daripada beberapa suku iaitu Sri Lemak, Tiga Batu, Tiga Nenek dan Biduanda.

“Berdasarkan itu, kami kini sedang berusaha menyenaraikan maklumat seperti umur, alamat rumah, nombor telefon, pekerjaan dan sebagainya untuk memastikan silaturahim keluarga ini berpanjangan.

“Saya sendiri yang merupakan generasi ketiga secara jujur tidak pernah berjumpa dengan beberapa ahli keluarga lain sehingga diadakan perjumpaan ini kerana tinggal di Senai, Johor,” ujarnya.

Ibarat hidup berkeluarga, pokok yang besar mempunyai dedaun hijau, ranting kecil dan besar dengan pangkal pokok menjadi paksi kepada kesatuan ahli keluarga.

Ia menjadi azimat bagi generasi keenam keturunan itu, Ibtisam Muhammad, 29, yang menegaskan, pertemuan tersebut mewujudkan suasana mesra lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda agar lebih mengenali orang tua dan menghayati jurai keturunan Lebai Taib.

“Saya sendiri baru beberapa bulan pindah di sini setelah menetap di Mekah susulan ayah bekerja di Tanah Suci sebagai kakitangan Lembaga Tabung Haji.

“Semestinya, sangat seronok dan berharap program seperti ini dapat dilakukan secara tahunan,” katanya yang merupakan guru bahasa Arab sambilan di Universiti Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar, Perak.