Dalam kalangan peminat seni taman di negara kita ini ia lebih dikenali sebagai bunga daisi. Nama gelarannya African daisy kerana ia berasal dari Afrika Selatan.

Kuntum bunganya sangat cantik dan menarik. Ia adalah bunga jenis majmuk mengandungi bunga-bunga kecil yang tumbuh dari bahagian tengahnya membentuk menjadi kuntuman yang bulat. Kuntuman bunganya ini tumbuh di hujung tangkainya yang panjang.

Terdapat beberapa spesies kacukannya yang mempunyai beberapa variasi warna menarik kelopak bunganya seperti putih, oren, merah terang, jingga dan merah muda.

Daunnya pula berbentuk bujur berwarna hijau tua serta beropol atau bergerigi di tepinya tumbuh dari bahagian bawah perdu pokok yang tidak berbatang. Pokok ini cukup tahan lasak senang ditanam dan tidak cerewet dari segi penjagaannya.

Kaedah pembiakan:

Ia senang dibiakkan menggunakan anak benih pokok yang banyak tumbuh dari sisi pokok induknya yang dewasa dan subur.

Ia sesuai ditanam dalam medium tanaman bersaliran baik dengan dilebihkan bahagian pasir sungai. Jika menggunakan campuran medium tanaman yang biasanya digunakan untuk penanaman pokok berpasu tambahkan sebahagian lagi pasir sungai.

Bagi campuran sendiri, disyorkan anda menggunakan nisbah campuran 3:2:2 (tanah peroi : bahan organik : pasir sungai).

Penjagaan:

1. Gerbera tumbuh di bawah cahaya matahari yang banyak supaya ia cepat berbunga lebat serta cantik warnanya.

2. Siram air yang banyak ketika membesar dan berbunga.Siram dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang terutamanya pada hari panas. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan.

3. Baja organik seperti najis ayam atau kelawar sangat sesuai untuk pokok ini. Namun begitu baja kimia juga sesuai untuknya. Awas jika menggunakan baja kimia jenis bijian yang boleh melecurkan daun dan batangnya jika terkena.

  • Cara terbaik ialah menanam baja biji dalam medium tanaman. Baja berwarna hijau adalah untuk pertumbuhan pokok yang sihat dan subur. Gunakan baja berwarna merah untuk pertumbuhan bunga yang banyak dan cantik.

Kaedah pameran:

1. Ia boleh ditanam dalam pasu secara solo atau digubah bersama pokok-pokok lain untuk menjadi satu gubahan yang menarik.

2. Ia sesuai ditanam di tanah secara solo atau dicampur dengan tanaman lain.

Tip:

1. Potong tangkai bunga yang telah layu untuk menggalakkan pertumbuhan bunga dan menjimatkan penggunaan baja.

2. Pokok ini cepat membiak jika dibaja selalu. Oleh itu pindahkan anak pokok yang padat dalam pasunya untuk pembiakan seterusnya sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual atau diberikan kepada jiran tetangga.

3. Jangan biarkan medium tanaman kering kerana ini akan membantutkan pertumbuhan pokok dan pengeluaran bunganya.

  • Bunganya sesuai dijadikan bunga keratan untuk gubahan bunga hidup sebagai hiasan dalaman untuk ruang tamu kediaman, pejabat atau ruang lobi hotel.

Ia boleh diusahakan secara komersial atau ditanam dalam skala yang besar bagi tujuan di atas.