Lebih mesra disapa Hettie Geenen, dia satu-satunya kapten wanita Greenpeace dan mungkin segelintir daripada sejumlah kapten wanita yang berani mengetuai kapal untuk mengharungi perairan dunia.

Wanita kelahiran Belanda itu telah belayar dengan kapal milik syarikat Greenpeace sejak tahun 1999 dan sebelum ini dia hanya bekerja sebagai kapten kapal pelancong di negara asalnya. 

“Saya mula belayar sejak usia 14 tahun lagi. Saya telah belayar sepanjang hidup saya dan sekarang saya belayar dengan Rainbow Warrior.

“Saya rasa saya mempunyai pekerjaan terbaik di dunia,” katanya ketika kapal Rainbow Warrior Seri 111 sedang melabuhkan sauh di Pelabuhan Sorong, wilayah Papua Barat, Indonesia baru-baru ini. 

Hettie menjadi kapten Rainbow Warrior sejak dua tahun lalu. Sebelum itu, dia hanya menjawat jawatan selaku pegawai kapal selama bertahun-tahun. 

“Sebenarnya saya tidak pernah memasang cita-cita untuk menjadi kapten kapal. Saya lebih suka bekerja sebagai pegawai kapal kerana kerjanya yang aktif dan sentiasa berinteraksi bersama orang ramai.

“Bagaimanapun, pada satu hari, saya telah berbincang dengan kakak saya. Saya membayangkan kejayaan yang telah dikecapi apabila usia menginjak 80 tahun nanti. Adakah saya bahagia pada waktu itu dan bermula dari saat itu, saya menetapkan niat untuk mencuba kerjaya baharu sebagai kapten kapal,” ujarnya. 

Tambah wanita yang berusia 56 tahun itu lagi, pekerjaannya sekarang sudah cukup baik dan selesa selain mampu merantau ke seluruh negara dengan menggunakan kapal besar serta mewah.

Harapan

Untuk perjalanan kali ini, Hettie membawa seramai 16 orang kru dan beberapa lagi tambahan anak kapal yang berasal dari pelbagai negara dan latar belakang. 

“Saya katakan ini adalah pekerjaan terbaik kerana kita dapat belayar mengelilingi dunia selain boleh menyaksikan sendiri apa yang terjadi kepada bumi.

“Saya melihat pelbagai populasi hidupan laut, batu karang yang memutih dan keindahan yang dimiliki bumi namun banyak juga sampah di laut,” ujarnya yang juga pernah menjadi kapten kapal milik Greenpeace yang lain seperti Esperanza dan Arctic Sunrise. 
Bagi Hettie, kapal Rainbow Warrior Seri III bukan sekadar kapal ikonik milik Greenpeace yang bersejarah tetapi sebagai salah satu wadah untuk menyuarakan harapan kepada dunia.

Jelasnya, sebelum bekerja dengan syarikat Greenpeace, dia tidak pernah menyedari akan isu-isu seperti perubahan iklim, kebakaran hutan dan ancaman populasi hidupan laut yang mengancam bumi.

Mengimbau kembali zaman persekolahannya, Hettie didaftarkan keluarganya di sekolah aliran maritim dan pada ketika itu, bilangan murid perempuan tidak begitu ramai berbanding lelaki. 

“Pihak sekolah menetapkan syarat iaitu hanya mahu menerima saya jika ada syarikat kapal penumpang yang sudah bersedia memberi saya pekerjaan. 

“Begitu pun saat pertama kali saya belayar, kebanyakan rakan sekerja adalah lelaki. Bagaimanapun, semakin tahun jumlah dan penyertaan pekerja wanita semakin bertambah,” katanya. 

Pengalaman

Selepas lulus, Hettie menjadi jurulatih dan kapten kapal pelancong serta bekerja selama lima ke enam jam sehari selama enam bulan dalam setahun sebelum membuat keputusan untuk berhenti.

“Belayar dengan Greenpeace membuatkan saya seperti melakukan sesuatu yang mempunyai tujuan selain merasa beruntung dapat menyertai keluarga syarikat gergasi tersebut,” katanya.

Sepanjang kariernya sebagai kapten kapal, satu perkara yang tidak akan pernah dilupakan adalah menyaksikan lapisan ais di Greenland mencair sekali gus membuatkan para ilmuan dunia hairan dan terkejut.

“Saya melihat dengan mata kepala sendiri dan para ilmuwan terkejut, glasier seharusnya ada di sana, tetapi tidak. 

“Ia tidak berhenti mencair dan kami sewaktu itu harus terbang dengan helikopter dan menyaksikan sendiri perkara tersebut,” tuturnya.

Terangnya, kerosakan hidupan marin seperti terumbu karang sangat kerap disaksikan selama belayar. 

“Kami melihat semakin banyak plastik di laut terutama di pesisir pantai. Jika dibandingkan dengan 20 tahun lalu, terumbu karang yang pernah saya lihat semakin memutih dan banyak yang rosak.

“Perubahan iklim dan kemusnahan hutan akibat kegiatan penebangan boleh dilihat di mana-mana sahaja,” ujarnya lagi. 

Hettie merupakan pencinta barangan perabot yang dihasilkan khas daripada kayu hutan dan dia pernah menyaksikan sendiri penebangan hutan yang berlaku di hutan Amazon, Brazil yang sangat menyedihkan hatinya.  

“Saya suka bau kayu dan sesuatu yang dihasilkan daripada kayu namun sekarang sudah tidak lagi kerana menganggap hanya merosakkan hutan.

“Saya juga belajar bahawa kemusnahan hutan di Indonesia lebih parah berbanding di Brazil. Perkara ini harus diselamatkan segera demi masa depan kita,” ujarnya.

Cabaran
Bagi Hettie, menjadi kapten dan perlu belayar di kapal selama berbulan-bulan tentulah bukan satu perkara yang mudah. 

“Ini pekerjaan yang sangat fleksibel. Setiap hari tidak pernah sama, tentu sahaja tidak selalu mudah untuk jauh dari rumah dan keluarga tetapi sebagai pelaut, anda akan terbiasa,” katanya.

Hettie juga bersyukur kerana pasangan hidupnya juga seorang pelaut sehingga membuatkan segalanya menjadi lebih mudah.

Menurutnya, meskipun telah belayar selama puluh-puluh tahun, dia juga pernah mengalami mabuk laut dan yang paling tidak dapat dilupakan ketika belayar di Greenland Selatan dengan kapal Arctic Sunrise.

“Ketika itu saya masih pegawai kapal dan saya benar-benar mabuk. Semasa mengalami mabuk laut, saya terfikir kenapa tidak memilih pekerjaan lain,” ujarnya. 

Sebagai kapten Rainbow Warrior Seri III, Hettie akan membawa belasan kru yang berasal daripada pelbagai negara di dunia yang kebanyakan adalah lelaki.

Bagaimanapun, Hettie percaya akan keseimbangan antara lelaki dan perempuan serta menyifatkannya amat penting bagi kedua-dua gender itu untuk bekerjasama melakukan tugas yang diberi. 

Tambahnya, banyak orang yang terkejut ketika melihat seorang kapten wanita kerana tidak pernah melihatnya sebelum ini. 

Hettie juga mengaku pernah dipanggil ‘pak’ kerana memiliki rambut yang pendek. Sejak itu, dia selalu memanjangkan rambutnya hinggalah ke saat ini.

“Saya mungkin memiliki tangan yang kotor, tetapi saya tetap seorang wanita,” katanya sebelum menutup bicara.

Kolum Khabar Indonesia ini dikelolakan oleh: 
* Agus Setiawan (Antara) 
* Megat Ramli Megat Raof (Kosmo!)


Untuk memberikan respons, sila e-mel ke [email protected]