Keluar sahaja dari pintu-pintu masjid, gerai-gerai teh uncang sudah menunggu untuk menyegarkan tekak yang biasanya menggemari teh tarik.

Secawan teh berharga satu riyal yang ketika itu bersamaan dengan 90 sen duit kita. Pada hari ini secawan teh uncang berharga 2 riyal dan duit kita RM100 hanya bernilai 86 riyal di kedai penukaran wang.

Suasana di sekitar Masjidil Haram sangat santai ketika itu. Ada banyak kedai makan kecil di sekeliling masjid yang turut menyediakan paip sisha.

Kedai-kedai minyak atar berderet di sekeliling masjid. Begitu juga restoran-restoran mamak India dan Pakistan begitu mudah dicari.

Bacaan ayat-ayat al-Quran dendangan qari-qari masyhur sentiasa bergema dari kedai-kedai yang menjual al-Quran dan kaset di setiap pelosok Mekah. Kini, bacaan al-Quran tidak lagi kedengaran merata seperti dahulu.

Hari ini suasana di dalam dan luar Masjidil Haram juga banyak berubah. Bangunan-bangunan tinggi dibangunkan di atas tapak yang dahulu dipenuhi kedai-kedai kayu dan batu setingkat.

Perubahan yang pesat terpaksa dibuat kerana jumlah jemaah umrah meningkat berkali ganda. Sebanyak 15 juta umat Islam dari seluruh dunia dibenarkan mengerjakan umrah setiap tahun mulai tahun 2016.

Angka itu dijangka meningkat ke 30 juta pada tahun 2030 apabila siap kerja-kerja menambah baik infrastruktur termasuk pembesaran Masjidil Haram, lapangan terbang dan menambah bilangan hotel di Mekah dan Madinah.

Pakaian ihram

Kesesakan di Masjidil Haram akibat kerja-kerja pembinaan sangat terasa bagi jemaah umrah sekarang terutama ketika melakukan tawaf. Hanya mereka yang berpakaian ihram sahaja dibenarkan melakukan tawaf di kawasan dataran sekeliling Kaabah kerana sebahagiannya ditutup untuk kerja-kerja pembinaan.

Mereka yang mengerjakan tawaf sunat dengan pakaian biasa tidak dibenarkan masuk ke kawasan dataran. Terpaksalah mereka melakukan tawaf di tingkat atas yang jarak perjalanannya kira-kira tujuh kali lebih jauh dan agak memenatkan. Atau memakai pakaian ihram seolah-olah melakukan umrah supaya dibenarkan bertawaf di dataran Kaabah.

Bagaimanapun, mereka yang tidak berupaya berjalan kaki boleh menggunakan skuter elektrik di tingkat dua untuk mengerjakan tawaf dan saie pada kadar sewaan 50 riyal (RM57) seorang.

Berdasarkan perangkaan tahun 2016, jumlah jemaah umrah terbesar adalah dari Mesir yang mencatatkan jumlah sebanyak 1.15 juta, diikuti Pakistan 761,330 dan Indonesia 635,990 orang.

Jumlah agensi pelancongan asing di seluruh dunia yang menguruskan perjalanan umrah kini meningkat sekitar 3,500.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 125: “Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci ,(Kaabah atau Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjidil Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya) dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

Dan atas ketetapan Allah itu, sehingga hari ini tiada tempat ibadat lain yang dikunjungi begitu ramai manusia sama seperti Kaabah dan Masjidil Haram. Surah ali-Imran ayat 96, Allah menyatakan: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”

Menurut hadis sahih Bukhari dan Muslim, bangunan asal Kaabah dibina oleh malaikat sebelum wujudnya Nabi Adam.

Apabila bangunan asal runtuh, Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail membina semula Kaabah. Peristiwa itu diriwayatkan berlaku lebih 2,000 tahun dahulu.

Daripada sebuah kawasan kering kontang tanpa penghuni, akhirnya dengan ketentuan Allah, Kaabah serta telaga zam-zam menggamit kedatangan berjuta manusia setiap tahun. Seorang penulis Parsi, Nasir-e Khosraw yang menunaikan ibadat haji pada tahun 1050 mencatatkan:

Solat jemaah

“Pada perkiraan saya penduduk Mekah ketika itu berjumlah sekitar 2,000 orang dan kira-kira 500 orang lagi ialah orang asing yang datang untuk menunaikan ibadat.

“Selepas musim kemarau panjang, ramai penduduk berhijrah ke tempat lain.”

Menurut perangkaan rasmi, penduduk tetap Mekah hari ini berjumlah 1.9 juta, tidak termasuk pelawat yang menunaikan ibadat haji dan umrah.

Pengembara terkenal dari Maghribi, Ibn Battuta dalam buku travelognya turut mencatatkan suasana di Masjidil Haram semasa dia menunaikan ibadat haji pada tahun 1326. Katanya, solat jemaah lima waktu diadakan empat kali masing-masing mengikut imam mazhab Shafie, Maliki, Hambali dan Hanafi.

“Mazhab Shafie mendahului kerana kebanyakan penduduk Mekah (ketika itu) adalah pengikut mazhab ini.

“Imam mazhab Shafie berdiri di belakang makam Ibrahim. Kemudian diikuti mazhab Maliki, Hambali dan Hanafi yang menghadap Kaabah di sudut berbeza yang telah ditetapkan untuk setiap mazhab.”

Hari ini semua mazhab melakukan solat serentak mengikut imam yang ditetapkan oleh pentadbir Masjidil Haram.