Norwegian Jewel merupakan kapal pelayaran yang dikendalikan Norwegian Cruise Line (NCL), berpangkalan di Amerika Syarikat. Ia memulakan perkhidmatan sejak tahun 2005.

Perubahan yang dilakukan meliputi ruang bilik penginapan daripada aspek rekaan dalaman, dekorasi restoran lebih versatil di samping kemudahan tempat rekreasi di atas dek kapal seperti gelanggang bola keranjang dan kolam renang selain gimnasium.

Naib Presiden Jualan Asia Norwegian Cruise Line Holdings Ltd., Felix Chan berkata, langkah pembaharuan yang dilakukan sejajar dengan pertumbuhan sektor pelancongan bagi segmen pelayaran di Asia Tenggara.

“Kami melihat potensi yang baik untuk pelancongan pelayaran di rantau ini. Terdapat pertumbuhan kukuh di semua pasaran termasuk Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

“Kami turut melihat trend melancong bersendirian kian popular dalam kalangan generasi muda dan berharap perubahan yang dibuat dapat menarik golongan tersebut untuk menyertai pakej pelayaran kami,” katanya kepada pemberita di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Dalam hal ini beberapa petugas media berpeluang melawat kapal tersebut secara eksklusif sewaktu singgah di Pelabuhan Klang.

Antara perubahan ketara yang dapat dilihat ialah dua bilik suite Haven Deluxe berkeluasan 1,200 meter persegi dengan balkoni seluas 567 meter persegi  dan dua jakuzi peribadi.

Kesemua 1,188 kamar juga dinaik taraf dengan televisyen, karya-karya seni seperti lukisan, arca dan perabot serba baharu.

Tempoh pelayaran pula menawarkan daripada tujuh hingga 19 hari perjalanan. Jewel Norwegian akan menghabiskan musim sejuk tahun ini dan musim bunga tahun depan menjelajah dari Sydney di Australia, Hong Kong dan Singapura.

Ia kemudiannya dijadual menyertai dua lagi kapal persiaran NCL iaitu Norwegian Bliss dan Norwegian Joy di Alaska pada musim panas tahun hadapan.