Pembangunan semula pusat beli-belah tersebut dapat dilihat pada ruang fizikal dan jenama keseluruhannya yang direka bentuk bagi mewujudkan suasana yang lebih ceria dan berinspirasi.

IPC telah ditutup selama 10 bulan untuk tujuan naik taraf, membabitkan pelaburan sebanyak RM200 juta.

Pengarah Ikea Asia Tenggara, Thomas Malmberg berkata, dalam persekitaran persaingan perniagaan yang sengit, pihaknya memahami keperluan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan agar kekal relevan.

“Oleh itu, kami sentiasa berusaha dan mendengar keluh-kesah, kebimbangan, kehendak dan keperluan masyarakat di sekeliling kami. Pembangunan semula ini adalah untuk mereka dan ia turut memberi peluang terbaik bagi membina hubungan yang lebih erat dengan rakan kongsi serta penyewa-penyewa yang baharu dan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pengurus Besar IPC, Karyn Lim pula berkata, pusat beli-belah itu telah melalui proses kematangan sejak 15 tahun yang lalu.

“Kami berasa gembira kerana dapat membangun bersama dengan kawasan-kawasan kejiranan di sekeliling kami dan menjadi tempat pertemuan yang penting untuk keluarga serta teman-teman,” katanya.

Kini, pengunjung boleh memilih untuk membeli-belah atau menjamu selera di 145 kedai dengan 46 peratus penyewa asal.

Penyewa baharu termasuklah Ben’s Independent Grocer (B.I.G.), Family Mart, Ikea Café, Watsons, Cotton On, LC Waikiki dan juga kedai utama Skechers yang terbesar di Asia Tenggara. IPC turut menawarkan lebih banyak pilihan untuk pengunjung menjamu selera berbanding sebelum ini.

Selain itu, pembangunan semula yang dilakukan turut melibatkan sistem parkir terarah, penambahan tempat duduk dan kemudahan-kemudahan mesra keluarga seperti pintu masuk kanak-kanak dan menaik taraf ruang keluarga dan Funland.

Selain daripada pembangunan semula, IPC Shopping Centre turut memperkenalkan logo terbaharunya sempena ulang tahun ke-15 jenama berkenaan.