Bagaimanapun, ada segelintir manusia yang bersikap lalai dan tidak bertanggungjawab dengan merosakkan sumber alam sehingga menimbulkan pelbagai bencana seperti tanah runtuh dan banjir kilat.

Kemusnahan alam yang dilakukan oleh manusia sebenarnya hanya dapat dipulihkan oleh mereka sendiri. Seterusnya mencipta kembali satu fasa kehidupan yang lebih harmoni dan damai.

Menyedari hakikat itu, pihak pemerintah wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT) telah menganjurkan festival rakyat yang digelar Wai Humba bertujuan mendidik masyarakat untuk kembali menjalani kehidupan selaras dengan kehendak alam semula jadi.

Festival rakyat yang memasuki tahun keenam penganjurannya itu disertai oleh ratusan penduduk setempat daripada empat kabupaten iaitu Sumba Timur, Sumba Tengah, Sumber Barat dan Sumba Barat Daya.

Festival bertemakan Kami Bukan Humba Menuju Kemusnahan itu menawarkan pelbagai aktiviti melibatkan kegiatan keagamaan dan jasmani dalam usaha mendidik masyarakat untuk kembali kepada fitrah asal kehidupan.

Menurut penganjur Wai Humba, Mike M. Keraf, festival itu diadakan di Kampung Tabera, Desa Doka Kaka, Kecamatan Loli, Kabupaten Sumba Barat, Pulau Sumba pada 1 hingga 3 Disember lalu dengan disertai hampir 300 peserta.

Bawa bekal

Wai bermaksud air manakala Humba merupakan dialek bagi perkataan Sumba yang dituturkan oleh masyarakat setempat.

“Festival ini membawa maksud menghormati semua elemen alam seperti air, gunung, sungai dan hutan.

“Wai Humba berbeza dengan festival-festival lain kerana lebih bersifat kesederhanaan. Peserta perlu membawa bekal makanan sendiri selain tidak melibatkan acara-acara berbentuk hiburan,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Kesemua peserta festival merupakan penduduk daripada empat kabupaten di Pulau Sumba iaitu Sumba Timur, Sumba Tengah, Sumba Barat dan Sumba Barat daya. Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan yang dinamakan Gunung Wangga Meti, Gunung Tana Daro, Pura Nobbu dan Gunung Yawilla.

Festival Wai Humba dimulakan dengan peserta perlu berkumpul di Kampung Tabera dan bermalam di rumah-rumah tradisional sebelum mereka mengikuti pelbagai program seperti perbincangan dalam kumpulan dan sukan rakyat.

Jelas Mike, satu upacara yang dipanggil Saiso juga dilaksanakan pada setiap malam. Peserta diminta berdoa bagi memohon penyatuan manusia dan roh dengan semangat alam yang menjadi pengantara antara benda hidup dan tuhan.

Medium

“Ritual Saiso bertujuan memanggil para Marapu yang disifatkan sebagai ciptaan tertinggi dan telah mencapai kesempurnaan dalam unsur kepercayaan masyarakat Sumba untuk menjadi medium perhubungan antara manusia dan alam lain.

“Dalam ritual itu, peserta perlu memohon ampun untuk kesalahan yang dilakukan terhadap alam seperti mencemari sungai, menjual hasil hutan dengan harga mahal dan menebang pokok dalam usaha memurnikan diri kepada sang pencipta,” jelasnya.

Penganjuran Festival Wai Humba dimulakan dengan kegigihan tiga orang lelaki Sumba mempamerkan kesungguhan untuk menjaga alam dan menolok usaha pembangunan di tanah mereka.

Menurut penduduk setempat, lelaki yang bernama Umbu Djanji, Umbu Pindingara dan Umbu Mehang itu pernah dipenjarakan selama hampir setahun setengah oleh pihak berkuasa kerana mereka memperjuangkan kesucian alam.

Menurut salah seorang penduduk Desa Doka Kaka, kes penangkapan tiga orang lelaki terbabit membuatkan penduduk setempat mengizinkan usaha pembangunan dijalankan termasuk pembinaan terowong di kampung mereka.

“Bagaimanapun, selepas itu penduduk kampung telah bersatu bagi menyokong perjuangan yang dibawa oleh tiga lelaki itu dan akhirnya pembinaan terowong di tanah suci dihentikan.

“Kami tidak pasti sama ada projek pembinaan itu telah dihentikan atau ditunda sementara namun sangat berbangga dengan kejayaan mereka bertiga menyekat pembangunan tersebut,” ujarnya.

Semangat yang dipamerkan oleh tiga lelaki itu menyebabkan penduduk setempat bersatu bagi melakukan upacara ritual keagamaan seperti berdoa untuk memohon alam terus dijaga daripada unsur-unsur kejahatan.

Penduduk juga melakukan penanaman semula pokok-pokok, berjimat-cermat dalam penggunaan air dan menjaga kebersihan sungai sebagai salah satu bentuk penghargaan kepada alam.

Sementara itu, penutup festival turut diserikan dengan upacara ritual khas yang menggabungkan kepercayaan terhadap alam dan unsur agama Kristian bagi memohon kekayaan, hasil tanah yang melimpah ruah serta kehidupan yang lebih baik.

“Kami sentiasa mengamalkan gaya hidup boros dan berhutang malah sanggup menggadaikan tanah demi kepuasan diri dan mendapat kekayaan segera. Jadi, ritual ini sebagai usaha untuk memohon maaf.

“Sebuah hutan di Kabupaten Sumba Barat juga dipilih oleh peserta festival sebagai taman ibadah dan ia akan menjadi tempat untuk memperingati tuhan dan lokasi menjalankan upacara ritual,” jelasnya.