Begitu juga dengan seorang pelukis muda yang berkongsi kisah berbeza menerusi tujuh karya dalam pameran berjudul Visual Diari di Galeri G13, Kelana Jaya, Selangor.

Menggunakan pelbagai medium seperti media campuran dan akrilik atas kanvas, kesemua lukisan genre abstrak itu mampu membuat penonton terpukau dalam meneroka mesej tersirat dan tersurat.

Menarik, luar biasa dan unik sekali. Ia mengisahkan tentang harapan dan cita-cita dalam mencari sebuah kebahagiaan.

Muhammad Izzat Mohd. Hamdan berkata, karya yang dihasilkan menggambarkan pengalaman dan memori yang telah atau sedang dilaluinya.

“Apabila bercerita tentang kehidupan, saya banyak belajar daripada pengalaman lampau yang banyak membentuk diri untuk menjadi lebih matang.

“Tanpa disedari, pengalaman tersebut menjadi pengajaran untuk kita tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri G13, Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.

Meditasi jahitan

Anak kedua daripada empat beradik itu mengambil contoh karyanya yang berjudul, Climb Up mengimbas pengalamannya ketika memanjat gunung batu.

Cerita Muhammad Izzat, setiap satu batu mempunyai warna yang berbeza menggambarkan tahap kesukaran yang perlu dilalui seseorang.

“Begitu juga dalam kehidupan ini, kita mempunyai dua pilihan sahaja sama ada berhenti di separuh jalan atau terus mendaki untuk meraih kejayaan,” katanya. Berbicara mengenai pemilihan warna, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, terdapat pelbagai warna yang digunakan di dalam karyanya.

Katanya, penggunaan warna yang berbeza menggambarkan warna-warni dalam kehidupan sehariannya yang tidak sama.

Muhammad Izzat memberitahu, ketujuh-tujuh karyanya itu mengambil masa sehingga lima bulan untuk disiapkan.

Menariknya, karya-karya yang dihasilkan menggunakan teknik jahitan menambahkan lagi kekuatan penceritaannya.

“Saya mendapat inspirasi menggunakan teknik jahitan dalam karya kerana mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

“Nenek saya merupakan seorang tukang jahit dan dia sering membakar bersemangat saya untuk menghasilkan lebih lagi dalam bidang seni,” ujarnya yang turut memiliki asas kemahiran jahitan.

Malah, menurut Muhammad Izzat, jahitan menjadi meditasi kepada dirinya ketika berdepan kesulitan dalam hidup.

“Proses jahitan itu sendiri memberi satu ketenangan dan dalam bahasa mudahnya menjadi terapi kepada diri apabila emosi tidak stabil,” ceritanya.

Cerita Muhammad Izzat lagi, sama seperti artis lain, dia turut berdepan dengan cabaran dalam menghasilkan karyanya termasuk kekangan kewangan dan pengolahan idea.

Bagaimanapun siswazah Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu memberitahu, cabaran-cabaran berkenaan dapat diatasi hasil sokongan pelbagai pihak.

Bangku sekolah

Mengimbas penglibatannya dalam bidang seni, Muhammad Izzat mengakui, bakatnya dipupuk sejak di bangku sekolah.

Kecenderungannya semakin terserlah apabila dia memasuki aliran seni ketika berada di tingkatan empat.

“Di sekolah, saya belajar makna seni yang sebenar dan mula mengembangkan bakat ketika berada di tingkatan empat.

“Apabila menyambung pengajian di universiti, minat saya terhadap seni semakin membara kerana sedikit tercabar dengan rakan-rakan yang mempunyai bakat luar biasa,” jelasnya.

Muhammad Izzat memberitahu, dia menjadikan senior-senior ketika di universiti sebagai sandaran dengan menuntut ilmu daripada mereka.

“Karya-karya mereka yang hebat banyak memberi inspirasi kepada saya untuk terus berkarya dan menambahbaik setiap kekurangan,” katanya.