Sambil menikmati keriangan aktiviti hiburan dan beli-belah dalam kedinginan tanah tinggi berketinggian 2,000 meter dari aras laut itu, pastikan anda sekeluarga ‘menghangatkan perut’ di Medan Selera, SkyAvenue yang menyajikan pelbagai hidangan enak.

Menyediakan lima jenis masakan, ia sesuai dengan variasi cita rasa pengunjung dari dalam dan luar negara.

Lima jenis masakan yang dibahagikan mengikut seksyen-seksyen itu ialah Nasi dan Rempah-Ratus, Aneka Mi, Laksa, Hidangan Timur Tengah dan Makanan Bergoreng.

Nasi dan Rempah-Ratus yang menyajikan nasi lemak, nasi kerabu, nasi dagang, nasi beriani, nasi kandar dan lain-lain. Siapa sangka, kini di tanah tinggi ini anda boleh menemui menu-menu nasi seperti itu yang sebelum ini sukar didapati.

Cef Sous Medan Selera SkyAvenue, Hapizi Hussain berkata, selain menambat selera pengunjung tempatan, sajian-sajian nasi ini juga bagi mengetengahkan cita rasa Malaysia kepada pelancong luar negara.

“Memandangkan di Genting Highlands, kepelbagaian pengunjungnya begitu luas, ini juga sebagai langkah untuk kita memperkenalkan sajian negara kita kepada pelancong luar.

“Di sini, kita mempunyai cita rasa Nusantara apabila turut menyediakan bihun Singapura dan bakso, juadah Indonesia,” katanya ketika ditemui di Medan Selera, premis makanan yang berkonsepkan medan selera itu baru-baru ini.

Tambahnya, nasi yang ditawarkan juga perlu memenuhi piawaian kualiti yang tinggi.

“Nasi dagang menggunakan beras perang manakala nasi-nasi lain seperti nasi lemak, nasi kandar, nasi beriani dan lain-lain semuanya menggunakan beras basmati. Menu-menu lengkapnya antaranya ialah nasi kandar ayam berempah, nasi beriani ayam tanduri dan nasi lemak ayam berempah,” katanya.

Selain aneka nasi, Hapizi berkata, antara hidangan yang turut menjadi makanan kegemaran di situ ialah mi rojak.

“Mi rojak kita istimewa kerana ia menggunakan udang geragau kering yang diolah oleh salah seorang cef di sini,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai premis terbaharu itu, pengurusnya, Mohd. Fauzan Abdul Fatah berkata, pihaknya amat menitikberatkan kualiti dalam makanan dan penyediaan sajian di Medan Selera.

Sarapan pagi

“Kita tidak mahu orang anggap Medan Selera seperti medan selera yang tipikal. Mutu masakan harus selalu diuji dan kita melakukan pemeriksaan dari segi kebersihan dengan kerap.

“Kami mahu menjadikan Medan Selera sebagai lokasi makan yang mesti dikunjungi di Genting Highlands,” katanya.

Mohd. Fauzan berkata, harga sajian lengkapnya dijual pada harga antara RM15 hingga RM25. Namun, turut mempunyai hidangan-hidangan lain yang berharga RM6 dan promosi sarapan pada harga RM12.

Untuk sarapan pagi, Medan Selera turut menyediakan set sarapan pagi berharga RM12. Tetamu boleh memilih sama ada untuk menikmati nasi lemak, dasi dagang, nasi kerabu, mi goreng, nasi goreng, roti telur, roti john, kari ayam dengan roti puri serta pelbagai kombinasi untuk dijamah bersama secawan minuman panas atau sejuk.

Medan Selera berkapasiti 270 tempat duduk ini terletak di aras G, SkyAvenue. Untuk keterangan lanjut layari www.rwgenting.com.