Wakil UUM, Prof. Madya Siti Aznor Ahmad berkata, program tersebut mampu menjadi platform bagi mengetengahkan beberapa perkhidmatan dan produk yang dihasilkan universiti tersebut.

Ujarnya, salah satunya adalah Mushroom Patty iaitu burger yang dihasilkan daripada cendawan kukur dengan tiga variasi istimewa seperti ayam, daging dan cendawan.

“Kebiasaannya orang ramai menganggap bahawa burger merupakan makanan ringan yang tidak bagus dan mengambil kesempatan itu, kami menghasilkan produk yang sama tetapi menggunakan cendawan kukur sebagai asas dan tanpa bahan pengawet.

“Pada mulanya kami melakukan percubaan berkali-kali bagi memastikan produk yang dihasilkan mempunyai rasa yang enak dan menyelerakan,” ujarnya.

Kerjasama

Tambah Siti Aznor, program sebegitu sangat bagus kerana ia mampu membawa produk yang ditampilkan untuk pergi lebih jauh.

“Menerusi program ini, terdapat beberapa syarikat menunjukkan minat untuk bekerjasama dalam mengkomersialkan lagi produk yang dihasilkan peserta,” ujarnya,

Selain itu, UUM turut mewujudkan kerjasama bersama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) bagi menjayakan penglibatan mereka dalam program tersebut.

Menurut wakil CEDI, program sebegitu bukan sahaja mampu mewujudkan kesedaran khususnya bagi para belia, malah dapat membantu usahawan muda memperluaskan peluang perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

“Program seperti ini sangat bermanfaat dan harus direbut memandangkan ia mampu mengetengahkan produk dihasilkan kepada masyarakat.

“Melalui program seperti ini, masyarakat akan tahu bahawa institusi pendidikan seperti UUM sendiri khususnya turut mampu mengeluarkan produk yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, sesi bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut diadakan bagi membincangkan peluang dan cabaran yang dihadapi oleh belia dalam perniagaan global.