Penubuhan pusat tersebut bagi menarik lebih ramai pelancong ke Melaka sekali gus menjadikan UTeM sebagai sebuah hab edupelancongan di negeri berkenaan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Profesor Zulkifilie Ibrahim, penubuhan pusat itu adalah untuk mengendalikan program pelancongan yang berkualiti ke arah penjanaan pendapatan serta mempromosikan UTeM secara langsung di dalam dan luar negara.

“Pusat ini akan menterjemahkan hasil penyelidikan di UTeM berasaskan pakej pelancongan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat umum.

Pengisian

“Antara pengisian menarik yang ditawarkan di sini adalah aktiviti sukan dalam kampus seperti berkayak di tasik, mengayuh basikal, meredah hutan, flying fox di samping menikmati pengalaman menaiki beca elektrik ciptaan penyelidik UTeM di sekitar kampus ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pusat Edu-Pelancongan UTeM juga dikenali UTourism dijayakan dengan kerjasama rakan kolaborasi iaitu Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia.

Katanya lagi, bertemakan Pembelajaran Menarik, para pelancong juga berpeluang menikmati pengalaman mengikuti program-program tambahan lain seperti kem arduino robotik, kem Lego robotik, kursus asas pemasangan solar dan pengendalian dron.

Tambah Zulkifilie lagi, kesemua aktiviti tersebut boleh dinikmati menerusi tawaran pakej yang sangat berpatutan dan menarik untuk pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, komuniti usahawan serta pelancong dari dalam dan luar negara.