Sejak ditubuhkan pada tahun 1969, USM yang juga merupakan universiti kedua tertua negara telah melalui transformasi pesat dalam pelbagai aspek.

Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Prof. Datuk Dr. Adnan Hussein berkata, bermula dengan kampus induk di Pulau Pinang, kini USM memiliki kampus cawangan iaitu Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, Pulau Pinang serta Kampus Kesihatan (Kubang Kerian, Kelantan).

Selain itu, katanya, terdapat sebuah kampus di Karnataka, India yang diuruskan bersama Kumpulan KLE iaitu Kampus Perubatan USM-KLE.

“Bermula dengan kemasukan 57 orang pelajar semasa ditubuhkan, jumlah mahasiswa terkini melebihi 32,000 orang yang mengikuti pelbagai peringkat pengajian,” kata Adnan ketika ditemui K2 di kampus universiti itu baru-baru ini.

Alumni

Tambahnya lagi, sambutan ulang tahun ke-50 tahun itu dijalankan sepanjang tahun dengan sebahagian besar aktiviti berkaitan dilangsungkan pada bulan Ogos dan September.

“Selain persembahan khas, acara dan penghasilan barang edisi terhad, ia juga berkait rapat dengan usaha meraikan alumni.

“Mereka akan dijemput untuk hadir pada majlis Makan Malam Mega di samping mengimbau kembali pengalaman bergelar pelajar di Pusat Pengajian serta Desasiswa (kediaman pelajar),” kata beliau.

Bercakap mengenai pencapaian USM, kata Adnan, agenda USM berkaitan kelestarian masih dikekalkan dan terus berkembang.

Katanya, sejak terpilih menerajui status APEX iaitu Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan pada tahun 2008 hingga kini, USM telah diiktiraf dengan meluas dalam pelbagai usaha berkaitan bidang kelestarian.

“Antaranya daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas program pendidikannya yang memenuhi keperluan Sustainable Development Goals (SDG) serta berada pada tahap kedua terbaik dunia.

“USM juga telah diiktiraf sebagai universiti terbaik negara dari segi impak global, selain tersenarai pada kedudukan 49 dunia oleh Times Higher Education (THE).

“Dengan persekitaran dan suasana akademiknya yang unik, USM pastinya menjadi pilihan yang tepat sebagai institusi pendidikan pilihan,” ujarnya.