Mohamad Zainal Azmi, 28, berkata, selepas tamat pendidikan tingkatan enam jurusan Sastera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Ketil, dia melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di ibu negara. Bagaimanapun, akibat kesempitan hidup, pengajiannya terpaksa ditamatkan.

“Saya mengambil keputusan untuk menamatkan pengajian dan pulang ke kampung bagi membantu keluarga,” katanya.

“Ibu bapa saya pada masa itu bekerja di estet dengan pendapatan RM600 sebulan,” ujarnya.

Anak keempat dari lima adik-beradik itu berkata, bermula dengan membantu kakaknya yang bekerja membuat rempeyek, dia mula mengutip ilmu dan menjalankan eksperimen untuk menghasilkan produk sendiri.

“Banyak kali mencuba, ada yang terlebih garam, tidak rangup, namun saya tetap tidak putus asa,” katanya.

“Akhirnya, saya berjaya mencipta resipi rempeyek sendiri, memang berbeza dengan yang lain dan diberi nama Rempeyek Sri Kejai,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Mohamad Zainal mengakui, bermodalkan wang pemberian RM150 arwah ayahnya kira-kira tujuh tahun lalu, dia mula mengusahakan perniagaan rempeyek dan berjaya memberi pulangan ratusan ribu ringgit terutamanya semasa musim perayaan.

Mohamad Zainal berkata, dia kini mempunyai sebuah kilang kecil untuk membuat dan menyimpan produk rempeyek serta sebuah kereta bagi melakukan penghantaran kepada pelanggan.

“Mengimbau kenangan dahulu, saya hanya menghantar rempeyek menggunakan motosikal milik keluarga. Bayangkan, kiri dan kanan penuh bungkusan rempeyek yang saya bawa menaiki motosikal,” katanya.

Dengan langkah mempromosikan produk rempeyek dari satu kedai ke kedai lain, usahanya mencetuskan kejayaan.

Kini, perniagaan kecil-kecilan itu sudah menempah nama sebagai produk terlaris di utara tanah air.

“Untuk perayaan hari raya Aidilfitri lalu, hasil jualannya mencecah 7,000 unit yang setiap satu berharga RM18,” katanya.

Dengan kemunculan produk baharu bagi tahun ini, rempeyek mini dijual dengan harga yang amat berbaloi.

Menurut Mohd. Zakaria Hasan yang merupakan peruncit di Kuala Ketil, kedainya antara yang mengambil tempahan Rempeyek Sri Kejai.

“Rempeyek ini memang disukai orang ramai di kawasan sini. Saya mengambil stok dalam 20 hingga 30 bungkus setiap hari.

“Biasanya, pada sebelah petang mesti rempeyek ini habis dijual. Kadangkala, saya juga simpan sedikit untuk dimakan,” ujarnya.

Katanya, rasa Rempeyek Sri Kejai tersebut sedap dan rangup. Saiznya juga sederhana dan tidak terlalu besar, sekali gus memudahkan pelanggan untuk makan.