Menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, rakyat Malaysia seharusnya mengenang dan menghargai jasa penduduk minoriti peribumi itu yang turut mempertahankan negara terutama pada zaman pemberontakan komunis dari tahun 1948 hingga 1960.

Senoi Praaq misalnya, merupakan sebuah pasukan keselamatan khas yang dianggotai suku kaum Orang Asli. Ditubuhkan pada tahun 1956 oleh pihak berkuasa British bagi memerangi komunis, ia cemerlang dalam menentang komunis di belantara.

Pada masa ini, sebahagian besar daripada 178,197 Orang Asli di 854 buah kampung di semenanjung masih mengamalkan cara hidup tradisional.

Penempatan mereka kebanyakannya di pinggir hutan terus dipengaruhi alam sekitar dan amalan nenek moyang terutama kumpulan Negrito yang masih mengamalkan kehidupan semi nomad.

Ketinggalan

Bagaimanapun, setelah enam dekad negara mencapai kemerdekaan, tidak banyak perubahan pada komuniti ini. Mereka dilihat masih ketinggalan dalam semua bidang termasuk pendidikan dan pembangunan sosioekonomi. Sehingga kini, hanya 987 Orang Asli yang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan 87 orang lagi mendapat peluang menyambung pengajian di institusi luar negara manakala enam orang lagi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Doktor Falsafah.

Halangan utama untuk membawa masyarakat Orang Asli ke hadapan adalah sikap mereka sendiri. Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Roslan Rosnon berkata, Orang Asli masih terkurung dalam ‘pemikiran ditawan’ yang menyebabkan mereka tidak berani berubah.

“Perubahan minda itu bukan bererti menolak adat dan budaya yang menjadi amalan sebaliknya perlu disesuaikan dengan keadaan semasa,” katanya.

Mohd. Roslan yang pernah menjalankan kajian perbandingan antara komuniti Orang Asli dan peribumi Australia berkata, penduduk Aboriginal And Torres Strait Islander di negara itu berani berubah.

“Mereka bekerja keras untuk mengubah hidup dan berani meletakkan diri mereka dalam pembangunan arus perdana. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada kejayaan Orang Asli di Australia yang kini mampu bersaing dengan masyarakat lain dari segi, ekonomi, sosial dan pendidikan,” katanya sambil memberitahu bahawa terdapat kira-kira 200 etnik berdasarkan bahasa di Australia.

Walaupun mempunyai banyak subetnik katanya, mereka mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memperjuangkan nasib agar mendapat hak dan kemajuan yang sama dengan penduduk Australia lain.

“Mereka bersatu memperjuangkan hak mereka, menyuarakan pendapat tanpa bantuan orang lain. Kekuatan ini tidak ada dalam masyarakat Orang Asli kita yang masih terpisah dari segi etnik (intraetnik),” katanya.

Sementara itu, budaya ‘tongkat’ kepada kerajaan melalui bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat Orang Asli.

Bermacam-macam bantuan disediakan termasuk pendidikan, kebajikan, ekonomi dan infrastruktur sehingga mereka dilihat terlalu ‘dimanjakan’.

Menurut Mohd. Roslan, kajiannya bersama-sama pasukan penyelidik UPM tentang budaya konsumerisme dalam kalangan masyarakat Orang Asli, yang melibatkan 1,477 responden, menunjukkan 17 peratus dalam kalangan mereka menghabiskan wang untuk berjudi nombor ekor.

Sebanyak 15.6 peratus pula menghabiskan wang untuk membeli minuman keras manakala 3.5 peratus dihabiskan dengan berjudi sementara 0.1 peratus untuk dadah.

Pendidikan

Dalam pada itu, Senator Isa Ab. Hamid, yang mewakili masyarakat Orang Asli di Dewan Negara, bersetuju supaya masyarakat Orang Asli tidak harus bergantung kepada subsidi dan bantuan sebaliknya perlu belajar berdikari.

Isa, daripada kumpulan etnik Melayu Proto berkata, dalam penjelajahannya mendekati masyarakat Orang Asli, beliau mendapati ada sebahagian kecil daripada mereka yang mampu berdikari dan tidak perlu lagi dibantu.

“JAKOA perlu melihat perkara ini agar kumpulan di pedalaman Kelantan, Perak dan Pahang dapat dibantu dan dikeluarkan daripada kemiskinan supaya mereka boleh berdikari pula,” katanya.

Dalam pada itu, Isa berkata, hanya melalui pendidikan dan keusahawanan yang dapat mengubah sikap dan memperkasa Orang Asli untuk bersaing dengan masyarakat arus perdana.

“Ini dibuktikan oleh penduduk Kampung Baru, Kuala Benut, Pontian, Johor yang didiami lebih 200 penduduk etnik suku Kuala. Kesedaran orang kampung tentang pentingnya pendidikan telah melahirkan generasi terpelajar selain melihat bidang keusahawanan sebagai alat membawa mereka keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Terdapat kira-kira 20 usahawan Orang Asli di kampung itu dengan ada antara mereka mampu menjana pendapatan lebih RM5,000 sebulan. – Bernama