Sumbangan tidak hanya terhad daripada individu, malah syarikat korporat dan badan bukan kerajaan juga tidak mahu ketinggalan membuat kebajikan.

Salah satu pihak yang tidak mahu ketinggalan memberi sumbangan pada bulan mulia ini adalah Baazar Malam Uptown Puchong (BMUP), Taman Meranti Jaya, Puchong, Selangor.

BMUP merupakan sebuah pusat beli-belah yang menawarkan pelbagai barangan, aktiviti dan tempat makan kepada masyarakat di sekitar Lembah Klang.

Baru-baru ini, pihak BMUP telah menaja 40 orang anak-anak yatim dari sekitar Puchong kelengkapan hari raya dengan kos keseluruhan RM6,000.

Pengerusi BMUP, Datuk Abdul Haniff Abdullah berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah BMUP membantu golongan kurang bernasib baik.

Jelasnya, menerusi inisiatif tersebut, pihaknya berharap anak-anak yatim berkenaan dapat meraikan hari lebaran yang bakal tiba seperti insan lain.

“Kami sangat teruja dapat membantu kanak-kanak kurang bernasib baik melengkapkan keperluan mereka seperti pakaian, kasut dan aksesori pada Hari Raya Aidilfitri.

“Sesungguhnya, tidak ada yang lebih bermakna daripada melihat senyuman terukir pada wajah mereka ketika mendapat barangan keperluan,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil, Adhif Syan Abdullah.

Pada program tersebut, pihak BMUP turut memberi sumbangan wang tunai RM7,000 kepada Masjid As-Salam Puchong Perdana.

“Ini merupakan tahun keempat kami memberi sumbangan kepada Masjid As-Salam Puchong Perdana. Menerusi sumbangan ini, kami berharap pihak masjid dapat membantu golongan memerlukan atau menganjurkan program bermanfaat sepanjang Ramadan dan Syawal,” jelas Abdul Haniff.

Jalin silaturahim

Pada program berkenaan, BMUP juga menjadi lokasi pelepasan dan hentian pertama Konvoi Kembara Ramadan 2019.

Konvoi kali keenam itu disertai seramai 100 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari kumpulan Puchong Bikers, wakil Masjid As-Salam Puchong Perdana, kerajaan negeri dan syarikat korporat.

Menurut Abdul Haniff, konvoi Kembara Ramadan bertujuan untuk mendekati masyarakat melalui penyampaian dakwah, menyantuni golongan gelandangan dan menjalinkan silaturahim dengan masyarakat.

Ujarnya, konvoi berkenaan turut menyampaikan sumbangan kepada golongan penjawat awam serta menyantuni golongan fakir miskin dan anak yatim.