Dari segi sejarahnya, institut pendidikan ini telah bermula lebih kurang 95 tahun yang lalu.

Pada masa itu, ia lebih dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC). Namanya telah ditukar kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Institut Perguruan Sultan Idris sebelum dinaik taraf kepada universiti pada tahun 1997.

Institut pendidikan ini sememangnya menjadi platform utama melahirkan guru atau pendidik di negara ini. Puluhan ribu barisan pendidik telah berjaya dilahirkan oleh institut pendidikan ini bermula daripada SITC sehinggalah namanya ditukar kepada UPSI.

Walaupun legasi kecemerlangan institut pendidikan ini telah lama terpahat di hati rakyat Malaysia, namun usaha untuk memastikan institut pendidikan ini terus cemerlang pada masa hadapan akan di teruskan.

Sehubungan itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris atau UPSI selaku pewaris kecemerlangan institusi perguruan yang terdahulu telah merancang untuk mengembalikan kegemilangan silam pada masa depan sebagai tempat rujukan pendidikan negara menjelang tahun 2020.

Bagi memastikan hasrat tersebut tercapai, UPSI telah melancarkan Pelan Strategik UPSI 2018-2020 dengan memberikan fokus kepada tindakan yang mampu menjadikan UPSI sebagai rujukan pendidikan negara menjelang tahun tersebut.

Tiga komponen utama yang akan membantu UPSI sebagai institusi rujukan pendidikan negara ialah inovasi pedagogi pembelajaran dan pengajaran, penguasaan bahasa serta kemahiran nilai tambah.

1. Inovasi Pedagogi Pengajaran dan Pembelajaran

Salah satu cabaran kepada barisan pendidik pada hari ini ialah menarik minat pelajar untuk memberi fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru masing-masing.

Seringkali pelajar akan hilang fokus selepas 15 atau 30 minit guru memulakan kelas.

Bagi memastikan pelajar sentiasa memberi fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru, UPSI telah memperkenalkan inovasi pengajaran dan pembelajaran yang akan menyebabkan pelajar tidak berkhayal semasa proses pembelajaran.

Kaedah 3L yang akan direalisasikan sepenuhnya tahun 2018 mampu menjadikan pelajar berminat untuk menghadiri kelas masing-masing. Apa yang lebih menarik, kaedah ini juga mampu menjadikan pelajar berasa menyesal atau sedih sekiranya mereka tidak hadir ke sekolah atau tidak menghadiri kelas. Kaedah 3L tersebut ialah learn by doing, learn by seeing dan learn by listening.

2. Penguasaan Bahasa

Inisiatif menjadikan graduan UPSI menguasai lebih daripada dua bahasa juga akan dijadikan agenda utama.

Bermula tahun 2020, graduan yang keluar daripada UPSI bukan sahaja boleh menguasai bahasa Malaysia dengan baik tetapi juga mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain seperti Arab, Korea, Jepun, Sepanyol, Perancis dan Mandarin.

Perancangan dan strategi telah digubal untuk membolehkan graduan UPSI mampu menguasai bahasa-bahasa tersebut sebelum atau sebaik sahaja mereka tamat pengajian.

3. Kemahiran Nilai Tambah

UPSI juga akan memastikan setiap graduannya dibekalkan dengan pelbagai kemahiran nilai tambah yang tidak diperoleh di bilik-bilik kuliah.

Semua kemahiran nilai tambah ini akan mendapat pengiktirafan daripada agensi bertauliah sama ada dari dalam atau luar negara. Antara inisiatif awal UPSI untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan memperkenalkan kemahiran mutawwif, teknologi automotif, pembuatan makanan dan bakeri serta pembuatan pakaian dan fesyen.

Sijil-sijil kemahiran ini telah dikeluarkan dan diiktiraf oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dan Giat Mara. UPSI yakin dengan ada kemahiran nilai tambah seperti ini graduan UPSI bukan sahaja menjadi rebutan majikan malah mampu memulakan pekerjaan sendiri selari dengan hasrat dan agenda negara untuk menjadikan graduan negara ini sebagai job creators dan bukan sebagai job seekers.

Konklusinya, tugas sebagai pendidik pada hari ini dan masa akan datang merupakan tugas yang mencabar. Kehadiran gajet dan peralatan berteknologi tinggi pada hari ini menambahkan lagi cabaran sedia ada kepada barisan pendidik di negara ini.

UPSI sebagai institut pendidikan ulung bertanggungjawab untuk memastikan generasi hari ini dan akan datang sentiasa fokus kepada proses pembelajaran walaupun tarikan daripada gajet terkini berada di sekeliling mereka.

Selain itu, UPSI juga komited untuk memastikan barisan pendidik yang dilahirkan sentiasa relevan sepanjang masa.

Dengan adanya tiga komponen tersebut, barisan graduan yang dilahirkan oleh UPSI akan menjadi rebutan majikan.

Bahkan, mereka menjadi buruan pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti ini. Semoga usaha untuk menjadikan UPSI sebagai rujukan pendidikan negara pada masa hadapan menjadi realiti.