Individu atau masyarakat yang tidak memiliki kecemerlangan akademik akan menghadapi kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Oleh yang demikian, ibu bapa terutamanya akan melakukan apa sahaja untuk memastikan anak-anak mereka mencapai kecemerlangan akademik yang dihajatkan.

Di Malaysia, indikator utama pencapaian kecemerlangan dalam bidang akademik diukur melalui peperiksaan yang diadakan sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

Bagaimanapun, formula yang selalu dikatakan bahawa kecemerlangan akademik penting untuk masa depan yang lebih cerah sudah tidak relevan lagi pada masa kini dan akan datang.

Majikan pada hari ini tidak lagi memberi fokus kepada kecemerlangan akademik semata-mata sebagai syarat untuk menerima atau menolak calon-calon yang di temu duga.

Dunia hari ini memerlukan individu yang mempunyai kemahiran dan keupayaan melebihi daripada pencapaian akademik semata-mata.

Menyedari hakikat itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil langkah proaktif untuk memastikan setiap graduan yang keluar daripada institusi itu mempunyai kemahiran beyond academic.

Dengan adanya inisiatif seperti ini, setiap graduan UPSI bukan sahaja memiliki kecemerlangan akademik tetapi mereka juga mempunyai pelbagai kemahiran yang diidamkan oleh majikan pada hari ini.

Tiga daripada kemahiran yang menjadi keutamaan UPSI untuk dimiliki oleh setiap graduan ialah akademik dan akhlak, sijil kemahiran bertauliah serta menguasai tiga bahasa.

Akademik dan akhlak

Kecemerlangan dari segi akademik dan akhlak amat penting untuk memastikan barisan graduan yang bakal dilahirkan bukan sahaja mempunyai kecemerlangan dalam bidang akademik tetapi memiliki akhlak yang baik serta terpuji supaya menjadi ikutan semua masyarakat

Sikap dan nilai murni juga teramat penting terutamanya kepada graduan yang bakal menjadi pendidik di negara ini kerana ia mampu menjadi contoh teladan kepada ribuan pelajar di sekolah masing-masing.

Selain daripada menjadi contoh dan ikutan kepada masyarakat serta generasi pelajar di sekolah, graduan UPSI juga mampu melahirkan ahli masyarakat yang mempunyai ciri-ciri sedemikian untuk masa depan negara yang lebih cemerlang.

Inisiatif yang dilakukan ini secara tidak langsung akan membantu negara menghasilkan modal insan kelas pertama pada masa hadapan dalam kalangan rakyat di negara tercinta ini.

Sijil kemahiran bertauliah

Selain itu, UPSI juga menawarkan pelbagai sijil kemahiran yang diiktiraf oleh badan dan agensi dalam serta luar negara.

Malah, dengan sijil yang mendapat pengiktirafan ini, semua graduan UPSI mampu untuk menawarkan kursus yang sama kepada masyarakat atau majikan mereka.

Antara kursus kemahiran yang ditawarkan kepada setiap graduan di universiti ini ialah sijil kemahiran pendawaian elektrik, pengendali haji dan umrah, pengacaraan, pertolongan cemas, menyelam serta kemahiran menguasai pelbagai bahasa.

Menguasai tiga bahasa

Graduan yang memiliki sijil-sijil itu dibenarkan untuk mengaplikasikan kemahiran tersebut ataupun menawarkannya kepada masyarakat mahupun majikan mereka pada masa hadapan.

Dalam untuk memastikan graduan menjadi lebih kompetitif dan mampu bersaing sama ada di persada nasional atau antarabangsa, UPSI mengambil inisiatif memperkenalkan program pelbagai bahasa kepada setiap graduan.

Melalui program ini, setiap pelajar dikehendaki menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa agar mereka mampu bersaing dengan graduan keluaran universiti lain sama ada dari dalam atau luar negara.

Kemahiran ini akan menjadi lebih signifikan kepada graduan yang memilih aliran pendidikan kerana mereka boleh mengajar pelbagai bahasa apabila di sekolah kelak.

Malah, mereka turut membantu sekolah itu melaksanakan pelbagai kolaboratif dengan sekolah daripada luar negara.

Kerjasama ini penting untuk meningkatkan kualiti sekolah itu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kualiti kecemerlangan dalam kalangan graduan merupakan elemen yang sering dibincangkan oleh masyarakat di negara ini.

Setiap tahun, ribuan graduan dikeluarkan oleh pelbagai universiti dari dalam dan luar negara.

Namun, apakah yang diinginkan daripada graduan itu, kecemerlangan akademik menjadi indikator utama untuk mengasingkan antara graduan yang bagus atau sebaliknya.

Bagaimanapun, formula itu berubah pada hari ini dan akan datang.

Masyarakat dan majikan sudah tidak lagi meletakkan kecemerlangan akademik sebagai indikator utama untuk mengklasifikasikan graduan yang cemerlang atau sebalik.

Apa yang lebih signifikan ialah kecemerlangan beyond academic.

Dengan adanya kualiti seperti ini, setiap graduan pasti mampu untuk bersaing sama ada di dalam ataupun luar negara.