Pada majlis yang berlangsung di universiti berkenaan, Anugerah Pesona Tempa Nusa diberikan kepada pengusaha tembaga, Wan Mahadi Wan Ismail manakala Zaharah Hamid (penari tradisional) mendapat pengiktirafan Pesona Temurun Warisan Tari.

Johan Mustafa (ukiran batu permata) pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Pesona Seri Jemari dan Razak Senik (permainan rodat) diiktiraf sebagai Pesona Libur Rakyat.

Penyanyi asal lagu Ulek Mayang, Wan Salmah Wan Sulaiman menerima Anugerah Pesona Temurun Warisan Nyanyi, manakala Mohamed Zamani Taha (penggubah lagu rakyat) menerima Anugerah Pesona Aksara Qalbu.

Pengarah Pusat Seni dan Warisan UniSZA, Prof. Madya Sahar Sa’di Hashim berkata, seramai enam tokoh yang berbeza dipilih untuk menerima penghargaan tersebut sebagai tanda prihatin mahasiswa terhadap insan seni.

“Setiap tokoh yang dipilih untuk menerima penghargaan ini mempunyai kehebatan dan kelebihan masing-masing mengikut bidang seni mereka seperti nyanyian, tarian, penggiat muzik dan kraf tradisional.

“Jika diteliti, hasil-hasil karya penerima anugerah berkenaan pernah diangkat sehingga ke peringkat antarabangsa pada satu ketika dahulu.

“Tidak dapat dinafikan Terengganu merupakan sebuah negeri yang sering dirujuk oleh pelbagai golongan masyarakat untuk mendalami keaslian seni warisannya,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Fakulti Sains Sosial Gunaan, Mohamad Hafis Amat Simin.

Tokoh budaya kesenian dalam bidang tarian dan nyanyian, Wan Salmah yang mula bergiat aktif sekitar tahun 1960-an menyatakan generasi muda masa kini kurang memberi perhatian terhadap seni-seni tradisional.

“Sebagai contoh, gamelan Melayu dan Indonesia merupakan genre yang sangat berbeza dan hanya negeri Terengganu masih mengekalkan keaslian seni budaya tersebut.

“Pada masa kini, terdapat muzik gamelan yang diadun menjadi lebih moden dan sebagai ‘orang lama’ saya kurang bersetuju dengan pilihan bunyi tersebut.

“Biarlah keaslian gamelan Melayu itu dikekalkan sebagai tanda menghormati pejuang seni zaman dahulu,” ujarnya.