Istilah berita palsu bukanlah isu baharu yang berlaku kebelakangan ini. Ia mungkin nampak baru dari segi akronimnya, namun pastinya kita sudah biasa didedahkan dengan maklumat bersifat propaganda, gosip, fitnah dan penipuan fakta yang telah wujud sejak manusia mula membina ketamadunannya.

Kini, penyebaran berita palsu juga menjadi salah satu strategi perang persepsi khususnya melibatkan personaliti tertentu.

Realitinya, berita palsu muncul sejak sekian lama seiring dengan perkembangan dunia digital yang membolehkan sesuatu maklumat mempunyai agenda tertentu ditulis dan disebarkan dengan mudah bertujuan untuk memburukkan atau membangkitkan persoalan dalam minda kalangan khalayak.

Propaganda yang disebarkan ini juga berpotensi untuk menjadi senjata yang paling ampuh untuk membentuk pemikiran kontra khususnya kalangan audiens yang mempunyai tahap literasi media (celik media) yang rendah dan juga golongan pengundi baharu.

Contohnya, kisah dakwaan berterusan ke atas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tentang pembabitan Rusia dalam kempen pilihan raya beliau masih belum selesai hingga kini.

Antara isu yang dibangkitkan oleh pihak pendakwa adalah Rusia dikatakan menggunakan saluran media sosial seperti Facebook untuk menerbitkan berita-berita propaganda yang memburukkan calon Demokrat dengan menggunakan taktik tertentu agar semua berita palsu itu berjaya sampai ke kaca mata pengundi negara itu.

Di negara kita, sejak tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat 67 kes penyebaran berita palsu di media sosial.

Pada masa sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, daripada jumlah itu, lima kes telah dibawa ke mahkamah.

Dalam tempoh sama, 1,861 laman sesawang, portal dan blog disekat kerana menyebarkan kandungan, maklumat serta berita berunsur palsu termasuk yang boleh mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat. Justeru, bagaimana cara mengatasi masalah tersebut?

Undang-Undang

Walaupun terdapat cadangan untuk mewujudkan undang-undang baharu khusus membendung penyebaran berita palsu ini, penulis melihat perlunya ada pentafsiran semula dilakukan terlebih dahulu tentang definisi berita palsu itu sendiri.

Sehingga kini, tidak ada sebarang definisi yang benar-benar mencerminkan realiti semasa merujuk kepada berita palsu.

Itu tidak termasuk lagi tahap dan bentuk berita palsu yang wujud ketika ini. Sebagai contoh, adakah berita palsu yang dipersembahkan dalam bentuk semantik dan semiotik seperti satira atau paparan karikatur juga boleh dikategorikan sebagai jenis berita palsu?

Bagaimana pula si pelaku yang menerbit dan menyebarkan berita palsu dalam laman Facebook, kemudian memadamkan semula status yang dimuat naik setelah ia tular?

Maka, penulis juga melihat dengan menafsir semula undang-undang sedia ada dilihat mampu memantapkan lagi usaha mengekang penyebaran berita palsu yang wujud melalui pelbagai platform ketika ini.

Ini termasuklah si pencipta, si penular serta penyokong atau dalang di sebalik penciptaan berita palsu itu perlu dikenal pasti dan didakwa.

Ini juga dapat mengelakkan pihak yang didakwa terlepas daripada tuduhan jenayah, ekoran tiada bukti sahih atau tafsiran undang-undang yang masih kabur.

Dalam hal ini, undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan, Akta Jenayah Komputer misalnya boleh dimantapkan untuk tujuan pendakwaan pada masa akan datang.

Dalam era media digital ketika ini yang membolehkan semua orang menjadi wartawan tidak profesional, terdapat ramai pemain yang terlibat dan memiliki agenda tertentu.

Selain itu, usaha memperkasakan bidang serta peranan agensi tertentu yang melibatkan jenayah siber dan forensik siber juga boleh dilihat sebagai alternatif terbaik bagi memantau dan menganalisis berita yang muncul dari dalam atau luar negara.

Penulis melihat Malaysia sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum serta menjadi antara pengguna media sosial terbesar di dunia. Pastinya penyebaran berita palsu yang tidak terkawal mampu menggugat kestabilan sosial masyarakat.

Maka, usaha mengawal penerbitan berita melalui saluran dalam talian perlu dipantau dan tindakan perlu diambil bagi mereka yang melalukan kesalahan.

Ini kerana, jika mereka boleh menguasai sesebuah media, bermakna mereka juga boleh menguasai pemikiran pembaca.