Mohammad Zulhelmi Mohd. Hasni, 17, bercerita, ketika itu dia membulatkan tekad agar impiannya untuk mendalami bahasa Arab terlaksana dan sanggup mengambil keputusan menyambung pengajian ke Jordan.

“Ketika menuntut di Maahad Tahfiz Darul Azhar (MTDA) Serdang, Selangor, saya mendapat peluang melanjutkan pengajian dalam bahasa Arab di Jordan pada 2017 selama dua tahun.

“Syukur, kini saya boleh bertutur bahasa Arab dengan baik dan disebabkan itu ibu bapa menghadiahkan saya pakej mengerjakan umrah penghujung Ramadan ini,” katanya yang ketika itu menuntut di World Islamic And Sciences Education University, Amman.

Mohammad Zulhelmi ditemui pada majlis pelepasan rombongan umrah program Rehlah Lailatulqadar 2019 anjuran MTDA di Serdang baru-baru ini. Rombongan seramai 120 orang itu mengerjakan umrah bermula 18 Mei lalu hingga 8 Jun depan. Ia turut membabitkan 22 orang pelajar MDTA dan selebihnya terdiri daripada peserta luar dan petugas.

Lebih unik

Pengasas bersama MTDA, Ahmad Izwan Hamzah berkata, program pada tahun ini lebih unik apabila seramai 11 orang pelajar akan menghadiri temu duga terbuka di Universiti Madinah.

“Para pelajar terbabit terlebih dahulu mengisi permohonan secara online di tanah air sebelum menghadiri temu duga di sana. Ia satu peluang terbaik untuk para pelajar ini untuk memasuki salah sebuah universiti terkemuka di dunia,” katanya.

Tambahnya, pada program kali ini turut diadakan aktiviti seperti bacaan al-Quran 30 juzuk setiap hari, memantapkan bacaan al-Quran dengan imam, bertarawih dan lawatan ke tempat sejarah.

Lebih menarik, para pelajar berkenaan berpeluang bertelaqi dengan para sheikh di masjid Nabi SAW.

“Kami juga berjaya mengumpulkan sebanyak RM35,000 daripada orang ramai yang ingin menyertai sumbangan berbuka puasa di Mekah dan Madinah.

Pek iftar itu terdiri daripada nasi mandy lauk ayam atau kambing, yogurt, air mineral, jus buah-buahan, kurma dan kuih-muih yang diagihkan sebelum waktu berbuka puasa kepada orang ramai,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Mohammad Hazim Farhan Zul Aznal, 19, bersyukur kerana kali ini merupakan kali ketiga dia ke Tanah Suci.

Pelajar yang berasal dari Klang itu antara pelajar yang berpeluang menghadiri temu duga terbuka di Universiti Madinah.

“Saya ingin melanjutkan pengajian dalam bidang al-Quran atau Syariah,” katanya.