Ada juga yang memandang remeh isu ini sehingga melakukan kesalahan tanpa disedari.

Sehubungan itu, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil menghasilkan buku Celik Fiqah 24/7 untuk menjadi panduan orang ramai dalam menjawab persoalan berkaitan isu ini.

Berkemahiran luas dalam usul fiqah serta fiqah perubatan membuatkan Ahmad Fauwaz rasa bertanggungjawab untuk berkongsi ilmu tersebut dengan masyarakat.

“Soalan-soalan yang sering ditanya oleh orang ramai ialah berkaitan puasa, solat dan kekeluargaan.

“Buku ini bakal menjadi rujukan bukan sahaja soalan-soalan seperti di atas tetapi merangkumi semua aspek kehidupan,” jelas anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Bahasa santai

Antara soalan yang ditanya ialah apakah hukum menunaikan solat dengan pakaian bergambar, bagaimanakah puasa seseorang yang tidur sepanjang hari dan apakah hukum bersalin disambut oleh doktor lelaki?

Mengulas mengenai buku Celik Fiqah 24/7 beliau berkata, setiap soalan dihuraikan dengan lengkap tetapi menggunakan bahasa santai dan mudah difahami.

Selain itu, ia juga mudah difahami, membincangkan isu-isu semasa dan menampilkan pelbagai persoalan mengenai kehidupan yang kadangkala menjadi tanda tanya.

Paling penting, setiap jawapan itu berpandu kepada mazhab Syafie yang menjadi pegangan masyarakat Islam di Malaysia.

Menceritakan mengenai idea penghasilan buku tersebut, graduan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islam itu berkata, ia berdasarkan pengalaman sepanjang terlibat dalam memberi tazkirah kepada masyarakat, baik di masjid, televisyen dan radio.

“Setiap persoalan yang diajukan telah saya kumpul dan rangkumkan dengan fenomena semasa untuk dibukukan bersama jawapan agar semua orang boleh baca serta mendapat manfaat.

Panduan

“Oleh itu, buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira pelajar, suri rumah, ahli perniagaan mahupun petani,” jelas anak ketujuh daripada lapan beradik itu.

Konsultan Telaga Biru Sdn. Bhd. itu menjelaskan, buku Celik Fiqah 24/7 perlu dimiliki setiap keluarga kerana ia boleh menjadi panduan kepada ibu bapa untuk menjawab persoalan yang ditanyakan oleh anak-anak.

Menghasilkan buku dengan jumlah soalan sebanyak 201 bukanlah tugas mudah untuk menjawab sesuatu permasalahan itu dan ia memerlukan masa setahun untuk disiapkan bagi diperhalusi terlebih dahulu dengan merujuk al-Quran serta hadis.