Penasihat program yang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shafezah Abdul Wahab, berkata, perlaksanaan program itu adalah untuk mendekatkan masyarakat Islam tanpa mengira bangsa dan kedudukan sekali gus memberi kesedaran kepada para sukarelawan mengenai kehidupan golongan yang kurang bernasib baik.

“Sumbangan yang diberikan berupa wang tunai dan keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan ketupat segera yang diberikan kepada lebih 20 keluarga Cina Muslim dalam kategori asnaf.

“Selain itu, sumbangan duit raya juga turut diberikan kepada lebih 30 kanak-kanak,” kata Shafezah yang juga Pengasas Suspended Meal.

Terdapat juga aktiviti-aktiviti berkonsepkan taddabur dan pengisian kerohanian serta motivasi dijalankan sepanjang program selain berkesempatan solat berjemaah bersama-sama sepanjang hari sehinggalah solat tarawih.

Jamuan juadah berbuka puasa berkonsepkan makan dulang disediakan pihak Masjid Cina Negeri Melaka dan UiTM kepada semua jemaah yang hadir.

Mengulas mengenai program itu, Shafezah berkata, sukarelawan telah diberi pendedahan untuk melaksanakan projek komuniti tersebut bagi membantu masyarakat yang memerlukan di samping dapat menerapkan kemahiran insaniah di dalam diri mereka.

Harapan

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Sabaruddin Beck Abdullah, berkata, perlaksanaan program keagamaan yang melibatkan golongan mualaf membuatkan mereka berasa berkeluarga dengan umat Islam yang lain tanpa rasa disisihkan dan diskriminasi.

“Islam adalah pilihan kami dan menjadi sebahagian daripada komuniti Islam di sini adalah harapan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Ahmad Khairuman Hasim, berkata, perlaksanaan program kemasyarakatan yang membabitkan sukarelawan daripada golongan belia khususnya pelajar adalah satu inisiatif yang baik untuk mendekatkan mereka dengan persekitaran.

“Saya berharap projek kemanusiaan seperti ini yang melibatkan masyarakat dan industri dapat diteruskan pada masa akan datang dan ianya benar-benar memberi satu pengalaman berguna kepada sukarelawan” katanya.