Perkara itu didorong oleh masyarakat yang semakin ramai mengamalkan gaya hidup sihat dengan melibatkan diri dalam pelbagai acara untuk mengekalkan kesihatan dan kecergasan tubuh.

Bagi yang mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap sukan dan rekreasi, mereka mungkin akan melangkah ke satu tahap lain dengan melakukan aktiviti yang lebih lasak bagi menguji keupayaan diri.

Menyedari perkembangan bidang sukan dan rekreasi yang semakin meningkat dari semasa ke semasa, syarikat pembekal peralatan sukan dan rekreasi terbesar tempatan, Universal Fitness & Leisure Sdn. Bhd. (UFL) telah mengorak langkah dengan memperkenalkan peralatan rekreasi menggunakan jenamanya sendiri iaitu Go Outdoor.

Pengurus Besar UFL, Ahmad Termizi Mahmud berkata, sebagai permulaan, pihaknya telah memperkenalkan dua barangan rekreasi di bawah jenama tersebut iaitu khemah dan beg tidur.

Katanya, kedua-dua barangan tersebut dihasilkan menggunakan material berkualiti tinggi dan menyamai barangan jenama lain yang seumpamanya di pasaran.

“Sejak berpuluh tahun lalu, kami telah memasarkan hampir 30 jenama barangan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa untuk pasaran negara ini.

“Sudah tiba masanya kami mengorak langkah dengan memperkenalkan barangan di bawah jenama sendiri untuk ditawarkan kepada pengguna.

“Di samping kualiti yang tinggi, ia dijual pada harga yang lebih rendah bagi memberi peluang lebih ramai anggota masyarakat memiliki peralatan rekreasi, sekali gus menjalankan aktiviti yang sihat sama ada bersama rakan-rakan mahupun keluarga,” katanya.

Jelas beliau lagi, bagi khemah, terdapat tiga saiz yang ditawarkan iaitu bagi dua, empat dan enam orang dengan harga yang ditawarkan ialah antara RM209.30 hingga RM413.30, manakala beg tidur pula dijual pada harga RM59 selepas diskaun.

Kata Ahmad Tarmizi lagi, bagi pengguna yang ingin memiliki khemah yang lebih berkualiti tinggi, mereka boleh memilih jenama High Peak yang merupakan produk bertaraf antarabangsa.

Model baharu

Dalam pada itu, Pengarah Urusan UFL, Datuk V. Radha Krishnan berkata, selain menawarkan jenama baharu, UFL turut menawarkan beberapa barangan dan model baharu bagi jenama sedia ada untuk pasaran tahun ini terutama bagi jenama Leatherman, Igloo, Cool Gear dan Suunto.

Katanya, sebahagian besar barangan tersebut telah pun berada di pasaran sejak Februari lalu manakala sebahagian lain akan dibawa masuk secara berperingkat selepas ia dilancarkan di peringkat antarabangsa oleh pihak pengeluar.

“Bagi jam tangan Suunto, kami akan membawa masuk dua model baharu yang dilancarkan bagi pasaran 2018 iaitu Spartan Sport dan Spartan Trainer. Ia dijangka mendapat permintaan tinggi daripada peminat aktiviti rekreasi dan sukan lasak di negara ini.

“Bagi model Spartan Sport, ia didatangkan bersama Wrist HR Baro, manakala Wrist HR Amber bagi Spartan Trainer,” katanya.

Kata beliau lagi, bagi jenama Leatherman pula, terdapat tiga model baharu produk itu yang dibawa masuk untuk pasaran tempatan iaitu Tiempo dan Tread LT yang merupakan jam tangan dengan kelengkapan peralatan pertukangan serta Wave, set kelengkapan pertukangan pelbagai fungsi.

Bagi produk Cool Gear yang merupakan produk botol minuman tahan lasak pula katanya, ia sangat menarik kerana bukan sahaja didatangkan dengan pelbagai bentuk dan warna, tetapi ada sebahagiannya yang dilengkapi dengan lampu diod pancaran cahaya atau LED selain stik penyejuk yang mampu menyejukkan air minuman bagi tempoh sehingga empat jam.

Mengulas mengenai prestasi syarikat pada tahun ini, Radha Krishnan memberitahu, dengan adanya penambahan jenama baharu di samping penawaran model terkini bagi jenama sedia ada, pihaknya menyasarkan peningkatan jualan sehingga 10 peratus berbanding tahun lalu.

Malah katanya, UFL juga akan membuka dua premis jualan dan pameran baharu masing-masing di Kuching, Sarawak pada Jun ini selain di Johor Bahru yang mula beroperasi pada September nanti.

“Lokasi bagi kedua-dua cawangan baharu tersebut telah pun dikenal pasti dan kami percaya ia dapat meningkatkan jualan bagi tahun ini.

“Bagi cawangan baharu di Johor Bahru, ia akan menjadi ibu pejabat kedua syarikat selain di Kuala Lumpur dan akan memfokuskan kepada jualan dan edaran kelengkapan sukan, kecergasan dan aktiviti rekreasi,” katanya.