Program selama 10 hari dari 13 hingga 22 November lalu itu diadakan di lima buah negara di Eropah iaitu Perancis, Belanda, Belgium, Jerman dan Switzerland.

Ketua eksekutif syarikat itu yang juga pengendali program berkenaan, Syed Farieh Yahaya, 64, berkata, program tersebut merupakan pakej pelancongan yang diberi nama Kembara Ria-Muslim Holidays.

Katanya, pakej tersebut mengetengahkan aspek keselesaan Muslim seperti makanan halal dan tempat solat ketika melancong.

“Selain melancong, kami juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai sejarah, adat dan budaya setiap negara yang dilawati.

“Sepanjang program ini, kami mendidik para pelajar supaya menguasai kemahiran kepimpinan dan komunikasi,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Salah seorang pelajar, Mohamad Azwan Fathullah, 23, berkata, dia berasa amat bertuah kerana terpilih mengikuti program tersebut.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menaja dan membawa kami menimba pengalaman di lima buah negara Eropah itu.

“Melalui program ini saya dapat menggilap lagi kemahiran kepimpinan yang saya minati sejak dari bangku sekolah lagi,” jelasnya.

Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu pernah memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar sewaktu pengajiannya.

Menyesuaikan diri

Menurut Mohamad Azwan, penglibatannya dalam bidang kokurikulum dan persatuan di universiti memberi kelebihan kepadanya untuk menyesuaikan diri dengan komuniti di negara berkenaan.

Seorang lagi pelajar, Nur Anis Syazana Saharudin, 22, menjelaskan, program itu dapat meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuannya dalam bidang pelancongan.

“Untuk menjadi seorang pemandu pelancong yang hebat, saya perlu menerokai keunikan setiap negara.

“Jadi, saya merasakan program ini amat sesuai untuk pelajar yang mengikuti pengajian pelancongan,” katanya yang merupakan graduan Diploma Pengurusan Pelancongan daripada Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis.

Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat berkenaan, Noorlizawati Jarlill, 35, berkata, program tersebut juga membantu kakitangan syarikatnya dalam meningkatkan kemahiran komunikasi.

“Ini kerana, setiap kakitangan digalakkan menggunakan bahasa Inggeris dalam berkomunikasi dengan warga tempatan sepanjang program tersebut berlangsung,” tuturnya.