Menurut Mohd. Asyraf, dia bersama pasangannya memang merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat dan telah pun membuat simpanan.

“Apabila terbaca tawaran pakej perkahwinan ini menerusi laman sosial Facebook, kami rasa ia peluang yang baik. Setelah berbincang, kedua-dua belah keluarga bersetuju.

“Kami berpandangan, memadai majlis perkahwinan dibuat secara sederhana dan lebihan wang yang ada dijadikan simpanan untuk kegunaan pada masa hadapan.

“Besar atau kecil majlis tidaklah penting, apa pun kami bersyukur kerana dapat membiayai perkahwinan dengan wang sendiri,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat swasta, manakala isterinya bekerja sebagai juruwang.

Mereka merupakan antara 11 pasangan pengantin baharu yang selamat dinikahkan pada Majlis Pernikahan Beramai-ramai 2019 di Masjid Muhammadiah, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Program itu dianjurkan sebuah syarikat perunding perkahwinan dan katering, Wahyu Catering dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan pihak pengurusan masjid berkenaan.

Upacara akad nikah diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Keluarga JAIPk, Mohd. Kamal Mohd. Noor.

Syariat Islam

Penganjur majlis, Nur Idayu Zainal Rashid berkata, program pernikahan beramai-ramai yang diadakan sejak 2017 itu bertujuan menggalakkan majlis perkahwinan dilaksanakan mengikut syariat Islam.

Beliau yang juga pemilik Wahyu Catering memberitahu, ia sekali gus mengurangkan beban kewangan ditanggung pasangan memandangkan kos bayaran yang dikenakan hanya RM3,500 sahaja.

“Ini bersesuaian dengan objektif penganjuran iaitu bagi mempermudahkan urusan perkahwinan. Kos ini meliputi sewa pakaian, majlis berinai, jurufoto, cenderahati dan majlis resepsi.

“Sehingga kini seramai 37 pasangan sudah selamat dinikahkan dan kebanyakannya pasangan muda yang berusia antara 19 hingga 25 tahun,” ujarnya.

Bagi Timbalan Pengerusi Masjid Muhammadiah, Ustaz Hafiz Ng Abdullah pula, pihaknya amat berbesar hati atas kesudian penganjur memilih masjid berkenaan sebagai lokasi pernikahan.

Sementara itu, pasangan pengantin, Nordalilah Md. Daud, 33, dan Nik Mohamad Azhari Azmi, 25, memberitahu, mereka teruja apabila dinikahkan secara beramai-ramai kerana dapat memberi kelainan.

“Pihak penganjur juga banyak membantu sepanjang berurusan. Alhamdulillah majlis ini dapat membantu kami mengurangkan kos perkahwinan,” katanya.