Bagaimanapun, situasi itu tidak sesekali menghalang pihak pemerintah untuk melaksanakan pelbagai usaha seterusnya bagi memperkukuhkan struktur ekonomi di negara tersebut.

Kelembapan ekonomi juga dilihat berpunca daripada penurunan prestasi eksport sehingga menyebabkan Bank Negara Indonesia (BNI) mengalami peningkatan defisit, selain penukaran mata wang Rupiah berterusan lemah.

Secara umumnya, kedudukan ekonomi Indonesia tidak begitu buruk jika mahu dibandingkan dengan negara dunia ketiga lain.

Pertumbuhan ekonomi negara itu masih berkembang dengan kadar kira-kira enam peratus pada tahun 2008, malah keadaan fundamental daripada sektor luar, fizikal dan industri perbankan juga mampu bertahan ketika Indonesia dilanda krisis kegawatan global sebelum ini.

 

Pelaburan

Badan Pusat Statistik (BPS) pula mencatatkan pertumbuhan ekonomi Indonesia hanya pada kadar 4.5 peratus pada tahun 2009. Situasi itu disifatkan sebagai kesan daripada krisis kelembapan ekonomi yang dihadapi.

Dalam pada itu, pertumbuhan ekonomi Indonesia hanya menunjukkan unjuran sebanyak lima peratus (2014), 4.8 peratus (2015), 5.02 peratus (2016), 5.07 peratus (2017) dan 5.06 peratus pada suku pertama 2018.

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati berkata, pengukuhan struktur ekonomi merupakan elemen penting pembangunan sesebuah negara dan ia perlu disokong menerusi peranan pelabur serta pengeksport.

“Kami perlu menjadikan struktur ekonomi negara bertambah kuat dengan mewujudkan industri yang mampu menghasilkan bahan asli dan memberi keuntungan berganda.

“Prestasi pelaburan ketika ini sedang meningkat sehingga mencapai 7.95 peratus pada suku pertama 2018 dan jumlah itu perlu ditingkatkan agar terus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya baru-baru ini.

Sri Mulyani menambah, sektor eksport yang sedang berkembang dengan kadar 6.17 peratus atau separuh daripada jumlah import negara itu perlu diperkuat bagi mengurangkan jumlah defisit BNI.

“Jumlah eksport ketika ini hanya separuh daripada import negara. Sekiranya mahu melihat ekonomi negara terus dipacu dan berkembang, industri eksport perlu diperkukuhkan.

“Jadi, pihak pemerintah akan terus bekerja keras bagi menarik prestasi pelaburan sama ada dari dalam dan luar negara, seterusnya berupaya meningkatkan industri eksport ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.

Jelasnya, keadaan ekonomi global yang sedang bergolak buat masa ini turut memberi kesan langsung kepada nilai mata wang Rupiah yang dilihat semakin menurun.

 

Rakyat

Dalam pada itu, Pengerusi BPS, Suhariyanto menjelaskan, ekonomi Indonesia pada suku pertama 2018 mengunjur sebanyak 5.06 peratus berbanding pada tempoh sama pada tahun 2017 dengan hanya mencatatkan sebanyak 5.01 peratus.

“Pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2018 juga dilihat lebih baik jika dibandingkan pada suku pertama 2016 dan 2015 dengan masing-masing hanya mencatatkan 4.94 peratus serta 4.83 peratus.

“Melihat kepada corak kenaikan ekonomi pada suku pertama 2018, pihak kami sangat mengharapkan agar ia terus berkembang serta berdaya saing pada suku berikutnya,” kata beliau.

Ujar beliau lagi, pertumbuhan ekonomi pada tahun 2018 dijangka berterusan berikutan terdapat acara-acara penting di republik tersebut seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, penganjuran Sukan Asia 2018 dan pilihan raya.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi turut berharap agar pertumbuhan ekonomi republik berkenaan pada suku pertama 2018 yang dicatatkan pada kadar 5.06 peratus akan terus berkembang pesat.

Menurutnya, pemain industri perlu memainkan peranan untuk meningkatkan kuasa membeli rakyat, menarik kedatangan pelabur luar serta memperluaskan eksport bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Pihak pemerintah juga mahu kementerian yang terlibat dengan bidang ekonomi mewujudkan lebih banyak insentif berkaitan bagi menarik minat lebih ramai pelabur antarabangsa untuk melabur di negara ini.

“Insentif itu perlu segera dilaksanakan pada peringkat nasional seterusnya berupaya memberi manfaat kepada negara. Indonesia perlu bangkit semula dan setanding dengan negara serantau yang lain,”jelasnya.

Ujarnya lagi, rakyat juga perlu sentiasa berwaspada dari segi kewangan, terutamanya apabila dunia sedang berdepan krisis ekonomi global ekoran peningkatan mata wang Amerika Syarikat (AS) yang turut memberi kesan kepada negara-negara lain.

“Selain daripada peningkatan dolar AS, faktor luaran lain seperti penurunan harga minyak, perang perdagangan dan keadaan geopolitik antarabangsa juga perlu diberi perhatian dalam menentukan kestabilan ekonomi.

“Dalam pada itu, rakyat juga perlu menyiapkan diri untuk berdepan krisis ketidakpastian ekonomi global dan sentiasa melakukan ramalan berhubungan keadaan masalah ekonomi antarabangsa,” kata Jokowi.

Oleh itu, Jokowi turut mengingatkan rakyat agar sentiasa menjaga keamanan bagi memastikan kesejahteraan negara terus terpelihara seterusnya mencipta ruang untuk membangunkan ekonomi.

Kolum Khabar Indonesia ini dikelolakan oleh: 
 Agus Setiawan (Antara) 
, Megat Ramli Megat Raof (Kosmo!)
 Untuk memberikan respons, sila e-mel  ke [email protected]