Kemajuan ini berjaya mengubah wajah dunia daripada cara melakukan interaksi sosial sehinggalah kepada hubungan peribadi.

Jika dibuat perbandingan, kemajuan digitalisasi dalam bidang kewangan ini berjalan lebih cepat berbanding perkembangan dalam sektor lain.

Lebih ekstrem apabila dikatakan bahawa kini jumlah orang yang memiliki telefon pintar jauh lebih ramai berbanding individu yang memiliki akses terhadap komputer peribadi.

Dalam sektor kewangan, inovasi teknologi sebenarnya bukan satu fenomena baharu.

Ini kerana teknologi dan kewangan mempunyai sejarah simbiosis yang panjang sehingga tercetusnya idea tentang teknologi kewangan (financial technology) atau sebutan yang lebih popular dalam kalangan anak muda dan para akademik ialah FinTech.

Bagaimanapun, terdapat banyak perbincangan tentang FinTech sejak akhir-akhir ini kerana perkembangannya sangat pantas.

Isu ini juga menjadi perhatian banyak pihak, baik dalam kalangan pihak kerajaan, golongan akademik dan pemain industri kewangan mahupun di peringkat pengguna (masyarakat).

Perkembangan FinTech di negara ini bermula apabila perkembangan transaksi perniagaan online semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengguna.

Sambutan yang menggalakkan ini menyebabkan para penggiat atau individu yang memberi perkhidmatan transaksi pembayaran mencari jalan keluar yang lebih mudah serta efisien.

Terdapat banyak definisi FinTech. Secara umumnya, FinTech merujuk pada penggunaan teknologi untuk menjalankan transaksi kewangan.

Secara spesifiknya, FinTech dikatakan sebagai aplikasi teknologi digital untuk urusan transaksi kewangan.

FinTech juga dilihat sebagai industri yang terdiri daripada bidang-bidang yang menggunakan teknologi agar sistem kewangan dan penyampaian perkhidmatan berasakan kewangan lebih efisien.

Akses

Aktiviti-aktiviti FinTech dalam perkhidmatan kewangan dapat diklasifikasikan sebagai pembayaran, pemindahan dan penyelesaian.

Aktiviti-aktiviti ini berkait rapat dengan pembayaran online, dompet elektronik, mata wang digital dan penggunaan teknologi buku tunai.

Model-model ini bertujuan untuk meningkat dan memastikan akses kepada para pengguna lebih mudah serta luas, sekali gus jangkauan pembayaran dapat dibuat serta memastikan sistem pembayaran berfungsi dengan baik.

FinTech juga dapat menyumbang kepada pengelolaan sejumlah transaksi serta pemindahan yang lebih besar antara pengurus kewangan, contohnya kini wujud mesin ATM daripada MEPS Cash.

Selain urusan deposit wang, pinjaman dan penambahan modal kini boleh dilakukan melalui FinTech.

Inovasi FinTech yang paling umum dalam bidang ini adalah pengumpulan dana dan platform pinjaman P2P (peer-to-peer) secara online serta kewujudan mata wang digital.

Jika dilihat perkembangan industri FinTech, kemajuan aplikasi ini berkait rapat dengan industri kewangan.

FinTech akan menyumbang kepada sektor insurans serta berpotensi mempengaruhi tidak hanya pemasaran tetapi juga kaedah pengendalian sistem insurans seperti penetapan harga risiko serta tuntutan penyelesaian.

FinTech mendapat sokongan di pasaran kerana ia menyediakan proses yang lebih mudah serta efisien dengan terciptanya aplikasi baharu seperti e-aggregators, big data, verifikasi ID secara digital, penyimpanan data dan pemprosesan (cloud computing) atau pelaksanaan perintah melalui kontrak pintar. Akses dan informasi yang konsisten merupakan isu penting di sini.

Perkara ini mencakupi platform e-dagang yang membolehkan pengguna berurusan secara langsung melalui online pada semua jenis aset, kontrak pintar dan inovasi FinTech yang terkini turut menawarkan khidmat nasihat mengenai sesuatu urusan kewangan seperti pembelian insurans.

Pemudah cara

Jadi, kehadiran FinTech kini menjadi satu keperluan.

Sudah tentu, FinTech tidak hanya membuat platform digital bertambah maju tetapi juga memudahkan transaksi jual beli.

Walaupun platform digital sedia ada boleh digunakan sebagai panduan bagi pembangunan FinTech ini, platform perniagaan industri kewangan konvensional juga harus sentiasa dikemas kini kerana teknologi digital hanyalah satu daripada pemudah cara yang digunakan untuk melaksanakan transaksi kewangan.

Dengan demikian, kehadiran teknologi digital melalui FinTech tentu sahaja akan membuka peluang perniagaan baharu pada masa hadapan.